Oleh S.M. Zakir
7 Julai 2021, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kolumins S.M. Zakir mengembalikan semangat “kebangsaan” Jawi Peranakan Pulau Pinang yang kosmopolitan, menemui hikmahnya dan alamat waspada untuk masa depan.

Masyarakat Jawi Pekan di Pulau Pinang memulakan akhbar dan menjadi penulis serta pemikirnya. Mereka terdedah dengan setiap perkembangan yang berlaku di dunia Islam dan menuangkannya dalam penulisan.

Pada suatu acara Bicara Buku di Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum adanya lagi pandemik COVID-19, saya membicarakan buku Aci Patmabi karya Azmi Iskandar Merican. Novel ini menarik bagi saya kerana menceritakan kisah orang-orang Melayu di Pulau Pinang yang lebih dikenali sebagai Jawi Peranakan yang kaya raya dan menguasai hartanah menjadi papa kedana apabila harta diwariskan kepada anak-anak yang gemar berfoya-foya. Wan Nor Azriq yang turut ada dalam majlis wacana itu mengemukakan hal yang sama pernah ditulis oleh Ahmad Rashid Talu dalam novelnya Perangkap Hitam. Novel ini ada dalam simpanan saya dan pernah saya baca dahulunya. Saya meneliti kembali Perangkap Hitam dan membenarkan hal yang dikatakan oleh Wan Nor Azriq.

Dalam Aci Patmabi, wanita menjadi protagonis yang berjuang untuk menyelamatkan anak bangsa daripada tergadai. Sementelahan dalam Perangkap Hitam, Sofiah menjadi antagonis yang merosakkan anak bangsa sehingga menggadaikan segala harta benda. Kedua-dua wanita ini mempunyai latar yang berbeza. Aci Patmabi keturunan hartawan yang membesar dan terdidik dalam budaya elit. Sementara Sofiah, gadis kampung yang datang mengikuti suaminya ke Pulau Pinang mencari kehidupan yang baik tetapi terjerumus ke dalam kolong kemiskinan. Aci Patmabi berkahwin dengan Pakwan anak Mamak Seeni Rawther saudagar berlian. Aci Patmabi sendiri anak Mamak Maidin, saudagar yang memiliki rumah besar di kawasan elit Jalan Hatin.

Sofiah meminta cerai daripada suaminya Umar yang miskin dan membawa anaknya untuk pulang ke Kuala Muda di Kedah. Ketika menaiki kereta hendak pulang, Sofiah bertemu dengan Mak Su dan Ramlah. Mak Su terkenal di Pulau Pinang menyimpan janda-janda cantik untuk tujuan menggoda lelaki kaya dan mengikis harta mereka. Itulah sumber kehidupan Mak Su dan perempuan-perempuan belaannya. Mak Su ialah ibu ayam kelas tinggi. Bermulalah kehidupan Sofiah sebagai “Perangkap Hitam” atau perempuan penggoda yang mengikis harta orang-orang kaya. Sofiah mendapat rumah di Patani Road daripada mangsa pertamanya, iaitu Abdul Rahman anak hartawan yang mendapat harta pusaka dan suka berfoya-foya. Setelah Abdul Rahman mati oleh kemalangan, Sofiah menjadikan rumah itu sebagai pusatnya memerangkap lelaki-lelaki kaya yang lupa daratan di Pulau Pinang.

Sofiah boleh dikatakan adalah sewatak dengan Chah Lenggok, perempuan joget yang menggoda Pakwan suami Aci Patmabi sehingga Pakwan jatuh bankrap, bercerai dan menjadi dungu. Lelaki-lelaki yang digoda oleh Sofiah juga adalah sama wataknya dengan Pakwan; kaya menerima pusaka, suka berfoya-foya menghabiskan harta, dan akhirnya menjadi lembu di kaki perempuan. Hairannya, lembu di kaki perempuan penggoda yang jahat, tetapi menjadi bengis dan berkira dengan isteri sendiri yang baik bahkan cantik. Jika Aci Patmabi muncul sebagai pejuang yang ingin menghapuskan parasit perosak bangsa, dalam Perangkap Hitam Said pula menjadi pejuang untuk menghapuskan perempuan parasit yang menjahanamkan hidup anak bangsa. Bezanya, Said menang dan berjaya, tetapi Aci Patmabi tewas dan jatuh miskin.

Kedua-dua buah novel ini dapat dilihat sebagai pencetus kesedaran kebangsaan yang awal. Perangkap Hitam diterbitkan pada tahun 1935, sementara Aci Patmabi diterbitkan pada tahun 2012. Namun kedua-dua novel ini mengangkat latar Pulau Pinang pada zaman pemerintahan Mahkota Inggeris pada awal abad ke-20. Aci Patmabi jelas membawa masuk peranan Syed Sheikh Al-Hadi dalam memberikan inspirasi kepada semangat kesedaran. Aci Patmabi digambarkan sebagai wanita yang membaca tulisan Syed Sheikh Al-Hadi dan mendapat inspirasi daripadanya. Hal itu mungkin kerana penulisnya Azmi Merican lahir pada zaman selepas itu dan cuba mendapatkan realisme semangat kesedaran zaman itu. Sementara Ahmad Rashid Talu pula hidup pada zaman tersebut dan lebih bertindak sebagai pencetus semangat kesedaran itu sendiri.

Pulau Pinang di bawah pemerintahan Mahkota Inggeris dikenali sebagai Negeri Selat mempunyai masyarakat majmuk yang unik. Antara masyarakat yang berpengaruh ketika itu ialah golongan Jawi Pekan atau Jawi Peranakan. Mereka merupakan masyarakat kacukan golongan pedagang dari India tengah dan utara yang berkahwin dengan masyarakat Melayu. Mereka bertutur bahasa Melayu dan banyak mengikuti resam Melayu yang bercampur dengan resam dari India. Berbeza dengan Tamil Muslim atau mamak yang datang dari Kadayanallur dan Tenkasi dari selatan India yang bertutur bahasa Tamil dan merupakan golongan bawahan. Jawi Pekan merupakan masyarakat elit, terpelajar dan kaya raya, di samping berpengaruh. Selain itu, terdapat masyarakat atasan Eropah, juga kelas menengah seperti Armeni, Yahudi dan sebagainya. Di samping itu, terdapat masyarakat Cina, India-Hindu, Serani serta Melayu dari tanah semenanjung dan Nusantara.

Masyarakat Jawi Pekan di Pulau Pinang memulakan akhbar dan menjadi penulis serta pemikirnya. Mereka terdedah dengan setiap perkembangan yang berlaku di dunia Islam dan menuangkannya dalam penulisan. Lantaran itu, kesedaran awal tentang semangat kebangsaan boleh dikatakan lahir secara tidak langsung daripada penulisan mereka. Walaupun istilah “kebangsaan” itu masih kabur, malah mungkin tidak wujud secara politikalnya, tetapi kesedaran untuk mempertahankan bangsa “Melayu moden” yang berkembang juzuknya dalam dunia moden telah muncul dengan begitu bersemangat dan bertenaga – secara intelektualnya. Novel Perangkap Hitam di tangan Ahmad Rashid Talu memperlihat kesedaran semangat kebangsaan, dapat dilihat daripada kata-kata Said yang ingin menyelamatkan “bangsa Melayu” ini daripada kehancuran moral.

Hal ini juga ditemui dalam semangat Aci Patmabi, mewakili watak zaman kehancuran bangsa Melayu moden yang hilang satu persatu harta benda mereka oleh kelihaian anak-anak pewaris harta yang hidup berfoya-foya dan bergelumang dengan maksiat. Apa yang menarik, kesedaran semangat kebangsaan ini ditumpukan sepenuhnya kepada kesalahan bangsa Melayu sendiri, tanpa menyalahkan bangsa lain atau mengambil sikap permusuhan dengan bangsa lain. Hal ini memperlihat kematangan dan kecerdikan kesedaran semangat kebangsaan yang muncul di Pulau Pinang. Dalam kedua-dua novel, lebih-lebih lagi Perangkap Hitam, tiada kaum lain yang dijadikan antogonis sepertimana sebahagian novel-novel awal di tangan penulis Tanah Semenanjung yang gemar meletakkan bangsa lain sebagai antagonis dan perampas hak orang Melayu.

Perbezaan ini berlaku kerana latar kosmopolitan di Pulau Pinang sejak dahulu lagi menyaksikan pergaulan setiap bangsa atau kaum atas dasar sama-sama mencari penghidupan di tanah “Mahkota Inggeris”. Kepelbagaian kaum di Pulau Pinang hidup atas dasar saling memerlukan. Keadaan ini terbawa-bawa kepada sikap kaum intelektual di Pulau Pinang yang melihat kesedaran kebangsaan dalam spektrum yang berbeza. Dalam novel Perangkap Hitam, jelas sekali spektrum kesedaran semangat kebangsaan ini tidak meletakkan kaum lain sebagai watak antagonis kepada kaum Melayu, sebaliknya watak-watak umum yang mempunyai peranan yang jernih. Antagonis kepada bangsa Melayu ialah sikap bangsa Melayu itu sendiri yang hidup melanggar syarak agama dan memusnahkan diri sendiri.

Spektrum kesedaran semangat kebangsaan yang matang di tangan penulis-penulis awal Pulau Pinang mungkin perlu dilihat untuk menjadi spektrum baharu kesedaran kebangsaan hari ini – memandangkan pemimpin dan ahli politik Melayu sejak berdekad-dekad menunggang sentimen semangat kebangsaan mengatagoniskan kaum lain bagi menghalalkan perbuatan mereka menyelewengkan dan meranggah rasuah sehingga menghancurkan bangsa Melayu. Seperti yang digambarkan oleh Ahmad Rashid Talu dan Aziz Iskandar Merican – yang menjahanamkan bangsa Melayu ini ialah orang Melayu sendiri – tiada sesekali bangsa lain.

Beli novel Aci Patmabi di sini.

_________________________

S.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi