Oleh Karmila Azmi
4 Julai 2021, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apakah itu puisi? Soalan itu ringkas dan mungkin remeh tetapi menyeret perdebatan yang berpanjangan. Di media sosial Twitter, persoalan berkenaan dibicarakan secara terbuka oleh kumpulan Tukang Puisi dan penerbit Kata-Pilar menerusi sesi Mengopi Puisi (Episod 2) “Puisi Itu Apa?” pada 3 Julai 2021 (Sabtu) jam 9.15 malam.

Dikendalikan oleh penyair Za’im Yusoff dan Fahd Razy, perbincangan secara dalam talian ini menampilkan empat orang panel, iaitu Shafiq Said, Dr. Adibah Abdullah, Alif Awan dan Nana.

Perbincangan ternyata menarik berdasarkan pandangan tidak sekata antara semua panel. Masing-masing membawa hujah sendiri yang menjadi indikator. Persoalan paling mudah seperti “apa itu puisi” nampaknya akan terus berlangsung.

Bagi Adibah, secara jelas prosa dan puisi itu berbeza namun beliau berpandangan mengapakah puisi itu perlu didefinisikan kerana akhirnya ia akan melarikan kita daripada tugas sebenar, iaitu menulis dan membaca.

Adibah yang mengakui berpegang pada definisi tradisi puisi berkata, puisi itu sukar untuk dijelaskan tetapi mudah dimengerti bagi mereka yang memahaminya. “Ia ibarat kita jatuh cinta kepada seseorang. Apakah kita jatuh cinta pada sifatnya? Kita tidak tahu, tapi kita tahu kita jatuh cinta. Begitu jugalah dengan puisi. Kadang-kadang kita melihat satu-satu karya dan kita tahu itulah puisi. Mungkin kerana puisi menyentuh aras bawah sedar kita, menyentuh rasa dan kita tahu kerana ia satu kesedaran kolektif yang tidak ada pun dalam panduan menulis puisi, tapi kita tahu itulah puisi,” katanya.

Tegas Adibah, puisi bebas tanpa perlu dikepung dengan definisi tetapi tidak bermakna semua tulisan pun boleh didefinisikan sebagai puisi.

Pandangan Adibah itu berlawanan dengan Nana yang mengakui dia suka memberontak kerana menurutnya, definisi puisi itu sebenarnya sebagai “panduan” dan “panduan” itu memang dibuat untuk dilawan.

“Saya bukan datang dari background sastera, saya belajar sendiri. Misi saya bertanya apa itu puisi dan bila saya jumpa saya akan langgar parameter sedia ada. Nak memberontak lagi. Saya bermain dengan spoken word, buat multimedia, animasi, games … Saya rasa seronok untuk memberontak kerana penulisan puisi merupakan ruang untuk diterokai. Definisi puisi itu sendiri memberikan ruang untuk penulis bermain-main dan bukan semua pemberontakan itu jenis marah-marah,” katanya.

Namun pandangan Nana disanggah oleh Syafiq yang melihat puisi masih perlu mempunyai definisi. Katanya, walaupun sebelum ini dia secara peribadi pernah ditanyakan mengapa persoalan “apa itu puisi” perlu ditanyakan namun katanya, pertanyaan sebegitu masih sangat penting dalam usaha mengenal puisi.

“Tahun lepas, saya ada bertanya apa itu puisi tetapi dapat feedback yang negatif, sudah tahun 2020 saya masih tanya akan hal ini. Saya tetap tulis saja (puisi). Tapi bagi saya, puisi ialah ungkapan atau susunan kata-kata yang memberikan pengalaman untuk menjadi manusia. Sama ada pengalaman itu gembira atau sedih atau kadang-kadang merasai pengalaman rohani.

“Justeru, ia harus ada penanda aras. Tanpanya kita tidak boleh nak kritik dan memberikan nilai pada puisi itu,” katanya.

Tegas Syafiq, beliau percaya, penulis puisi perlu diletakkan di bawah satu pertanggungjawaban.

“Kita mesti ada satu peraturan. Pandangan penulis yang kata kalau ada batas, kita kena langgar batas itu mungkin rule dia, sebab tak semestinya apabila ada batas kita kena dan mesti langgar,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.