21 Jun 2021, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin meneliti tema paling popular dalam pengkaryaan prosa, iaitu cinta, dan menyelami sifat sejagatnya serta liku-liku masalahnya.

Tema cinta yang membina memang baik kerana karya sastera juga perlu menonjolkan nilai kesejagatan manusia yang menjadi hamba Allah SWT, selain menampilkan keindahan estetika.

Terdapat pelbagai tema dalam karya sastera, dan antara tema yang sangat terkenal, walaupun ramai yang menganggapnya klise ialah cinta. Apabila cinta dijadikan tema karya, biasanya karya itu sentiasa dibayangi ataupun dikaitkan dengan cinta lelaki-wanita.

Tema cinta lelaki-wanita tidak salah dari segi undang-undang. Kehidupan manusia sendiri pun tidak dapat lari daripada cinta. Walau bagaimanapun, salah jika menganggap hanya cinta lelaki-wanita sahaja yang elok sebagai tema karya sastera. Penulis remaja atau muda yang menyukainya juga tidak wajar membataskan skop cinta yang menjadi tema karya mereka sehingga menjadi sasaran pengkritik.

Namun demikian, jika seseorang penulis memahami dan melihat cinta dengan skop yang lebih luas, hal ini mungkin mendapat perhatian yang lebih baik daripada pengkritik sastera. Tema cinta sememangnya mempunyai daya penarik yang hebat sekiranya diolah dengan baik. Selain cinta lelaki-wanita, ada juga cinta kepada ayah dan ibu, cinta kepada kerjaya, cinta kepada bangsa, negara dan agama.

Justeru, cinta boleh dijadikan tema karya. Masalahnya, ramai penulis menggunakan tema cinta lelaki-wanita sahaja. Dalam kebanyakan karya yang diterbitkan, hanya tema cinta lelaki-wanita yang menguasai, malah diolah dengan cara yang tidak menarik pula. Mengapakah skopnya disempitkan?

Keadaan yang boleh dianggap sebagai krisis ini wajar dibetulkan. Para penulis harus berusaha mencari tema yang boleh menimbulkan kesan yang besar dalam cerita. Mereka harus menyelidik atau mengkaji untuk mendapatkan ketepatan agar cerita yang diolah mampu menggambarkan sesuatu yang hidup, meskipun tidak wujud dalam kehidupan manusia.

Tema cinta yang membina memang baik kerana karya sastera juga perlu menonjolkan nilai kesejagatan manusia yang menjadi hamba Allah SWT, selain menampilkan keindahan estetika. Kita juga sebagai pembaca harus disedarkan bahawa saban hari kehidupan tertakluk pada janji manusia kepada Allah, dan Allah penentu segala-galanya. Dengan mendorong semangat atau mengajar ciri-ciri murni kepada pembaca khasnya, dan masyarakat amnya, banyak pengajaran boleh disalurkan.

Pengertian cinta itu memang luas. Ada yang pasti, ada yang samar-samar. Cinta kepada Allah SWT sahaja yang pasti. Begitu juga cinta kepada Nabi Muhammad SAW, dan alam ciptaan Allah.

Mungkin terdapat tiga andaian mengapa penulis sering mengutamakan persoalan cinta lelaki-wanita sahaja. Pertama, persoalan cinta tersebut lebih hampir dengan diri manusia, lebih dihayati dan lebih menyeronokkan. Kedua, meskipun keindahan bercinta lebih wajar dipaparkan, barangkali penulis sendiri lebih menggemari soal kekecewaan dan kepedihan yang dialami oleh watak-watak rekaannya. Ketiga, adakalanya cerita sedemikian berkaitan dengan diri mereka sendiri – biasanya cerita yang menjadi nostalgia penulis atau pembaca. Mereka sendiri biasa mengalami peristiwa yang diceritakan, dan dengan demikian dapat lebih menghayati peristiwa tersebut.

Jadi, penulisan bertemakan cinta pasti mudah diolah dan disampaikan, sesuai dengan kehendak pembaca. Namun begitu, persoalan yang amat menghairankan ialah, meskipun semua itu boleh dipaparkan semula dengan penuh perasaan, tetapi prosesnya tetap sukar apabila diolah dalam karya untuk dihayati oleh pembaca.

Tema cinta memang masih terkenal dan laris. Tema ini secara tidak langsung turut mempopularkan pengarang, dan melariskan karyanya. Walau bagaimanapun, hal ini tidak memberi banyak manfaat kepada si pembaca yang sebahagian besarnya para remaja yang sedang mencari pedoman hidup.

Gejala penulisan novel popular dengan tema cinta memang sudah lama dan masih melanda dunia sastera tanah air. Sebenarnya, penulis dan penerbit yang menangani karya popular dan komersial sebegini tidak memberikan sumbangan yang bermakna kepada dunia sastera negara. Mereka sebaliknya akan menghanyutkan dunia sastera tanah air daripada menuju ke matlamatnya yang sebenar. Sudah tentu hal ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Penulis harus meluaskan skop dan pengertian mereka dalam pemilihan tema karya.

Walau bagaimanapun, kritikan ini lebih merupakan saranan untuk kebaikan bersama. Setiap penulis tidak dapat dipaksa untuk mengikutinya. Cuma yang penting, kita perlu berharap dan terus memberikan saranan untuk mengelakkan pengkaryaan yang klise. Sememangnya, dinyatakan sekali lagi bahawa bukanlah cinta lelaki-wanita tidak boleh dijadikan tema langsung dalam pengkaryaan, namun penulis haruslah memaparkannya dengan cara yang indah. Jika persoalan cinta itu gagal membangkitkan keindahan gara-gara kelemahan penulis menggunakan gaya olahan yang menarik, hal ini pasti akan membantutkan perkembangan genre dalam tema cinta. Malah, seakan-akan penyeleraian ceritanya sudah dapat ditebak. Inilah antara kelemahan dalam memilih tema cinta lelaki-wanita.

Penulis bebas, Norazimah Abu Bakar apabila ditanya sama ada menggemari tema cinta lelaki-wanita atau tidak, memberitahu dia sudah jarang menulis kisah bertemakan cinta sesama manusia.

“Pengertian cinta itu memang luas. Ada yang pasti, ada yang samar-samar. Cinta kepada Allah SWT sahaja yang pasti. Begitu juga cinta kepada Nabi Muhammad SAW, dan alam ciptaan Allah,” tambahnya, yang telah menghasilkan tiga buah buku dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Dengan kenyataannya itu, dapat difahami bahawa Norazimah yang juga Setiausaha Kerja GAPENA, tidak lagi cenderung pada tema cinta lelaki-wanita, bukan sahaja dalam karyanya, malah daripada pembacaan karya penulis lain.

Sementara itu, wartawan sebuah portal terkemuka tanah air, Arif Atan berpendapat, jika mahu mengelakkan klise dalam tema cinta lelaki-wanita, ceritanya boleh menampilkan watak yang mempunyai minat yang serupa.

“Sebagai contoh, pasangan kekasih sama-sama terlibat dalam gerakan memelihara alam sekitar,” jelas Arif.

Mantan siswa Universiti Malaya ini turut mengambil novel Cinta Hari-hari Rusuhan karya Faisal Tehrani sebagai contoh, kerana tema cinta lelaki-wanitanya tidak klise, dan disulam dengan pergelutan gerakan mahasiswa mendepani isu masyarakat semasa.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.