8 Jun 2021, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Hasrat episod ini adalah untuk memberikan pendedahan awal dalam kesusasteraan dan penulisan kreatif. Tujuannya supaya elemen gaya bahasa boleh dimanfaatkan dalam penulisan. Penulis lebih bijak menggunakan kata-kata dan penceritaan serta berupaya menghidupkan suis emosi pembaca.”

Begitulah ungkapan Nisah Haron dalam mukadimah episod empat, musim ketiga siaran Secangkir Kopi Jam Sepuluh pada Sabtu 5 Jun 2021 yang berjudul “Special Effects” dalam Penceritaan. Rancangan bual bicara dalam tempoh satu jam ini dihoskan oleh Azian Mohamed Isa dan terkini sudah pun bersiaran sebanyak 14 buah episod. Program siaran ini menggunakan pelantar Facebook sepenuhnya, malah semakin mendapat perhatian dan berjaya mencipta komuniti peminatnya yang tersendiri.

Nisah Haron menyampaikan ilmu dan pengalamannya pada episod empat musim ketiga Secangkir Kopi secara santai tetapi amat berkesan.

“Sepanjang saya mengikuti Secangkir Kopi Jam Sepuluh, program ini tidak pernah mengecewakan. Sebagai penulis pemula, sudah lama saya mencari program tip penulisan yang sebegini bagus,” kata Noraini Hasdin, salah seorang penonton.

Secangkir Kopi Jam Sepuluh ialah rancangan yang berasaskan pendidikan. Rancangan ini menawarkan wacana ilmiah untuk mempertingkat kemahiran penulis. Dengan “slogan” (tagline) Terampil dan Bestari, siaran secara langsung (live) ini menampilkan Nisah Haron, penulis mapan dan aktivis sastera sebagai tetamu panel yang memerihalkan panduan dan maklumat berguna tentang ilmu penulisan.

Bermula dengan siaran ulung pada 31 Oktober 2020 dengan tajuk Perempuan dan Kain Layang, episod ini sahaja telah menarik jumlah penonton Facebook menghampiri 1000 tontonan secara langsung. Siapa sangka wacana tentang sastera arus perdana diminati sebegini? Episod pertama mengambil judul cerpen karya Nisah Haron yang telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/2018. Dalam siri tersebut, isu pemberdayaan dan pemerkasaan wanita yang ditampilkan dibincangkan. Proses kreatif pengarang juga turut dikupas dan dihuraikan.

Paling menarik, episod selanjutnya yang disiarkan pada 14 November 2020 memperoleh capaian penonton secara langsung paling tinggi, iaitu sebanyak 1300 tontonan. Judul topik yang dibawakan dalam siri itu ialah Upskilling as a Writer. Hal ini jelas menunjukkan bahawa ilmu tentang pembangunan kemahiran sangat mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi pada musim pandemik yang sangat membataskan pergerakan. Pada masa Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung tahun lepas, banyak pilihan siaran secara dalam talian yang tersedia ada di pelantar media sosial.

Secangkir Kopi Jam Sepuluh sememangnya hadir dalam kemelut pandemik. Ketika masyarakat dicakar cemas dengan kuku pandemik yang belum nampak surutnya, rancangan ini tampil memaknakan hujung minggu penonton.

Jika ditanya bagaimanakah rancangan ini memastikan aroma kopinya kekal sedap dan membangkitkan selera? Jawapannya ada pada kandungan dan gandingan personaliti yang serasi. Setiap kali mahu ke udara, persediaan untuk latar, pencahayaan, audio dan tatarias sangat diambil kira dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa. Hak penonton mestilah dihormati. Tempoh siarannya hanya satu jam. Tempoh yang paling ideal untuk menikmati hangatnya secangkir kopi.

Untuk menonton siaran terbaharu “Special Effects” dalam Penceritaan, boleh klik di sini. Bagi yang berminat, boleh terus ke halaman Secangkir Kopi Jam Sepuluh di Facebook untuk menonton episod-episod terdahulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.