7 Jun 2021, 11:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin menyoal, mengapakah drama radio yang jauh lebih lama diperkenalkan di negara kita masih lagi tidak mendapat tempat sebagai sebuah karya sastera yang boleh dikaji dan diapresiasikan?

Jika filem yang dianggap asing pun sudah ada segelintir sasterawan yang menerimanya sebagai karya sastera, apatah lagi drama radio yang datang daripada kelompok drama?

Walaupun dipersembahkan secara audio, drama radio yang terhasil daripada skrip merupakan antara karya sastera yang telah lama bertapak di negara kita. Namun demikian, mengapakah drama radio kurang atau tidak mendapat perhatian, termasuk daripada pengkritik sastera?

Sejak sekian lama, stesen radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menyediakan slot drama. Antara drama radio rantaian yang terkenal pada era 70-an dan 80-an ialah Fajar di Bumi Permata dan Nombor 5, Persiaran 1.

Setakat ini, slot drama radio rantaian yang masih ada ialah Panggung Drama di Klasik FM pada setiap hari Ahad, jam 12.00 tengah hari. Meskipun hanya berdurasi 30 minit (berbanding daripada 60 minit sebelum ini), slot ini tetap usaha yang penting dan baik untuk meneruskan hayat drama radio di negara kita.

Memang drama radio hanya dapat dinikmati dengan cara mendengarnya sahaja. Adakah kerana itu menyebabkan drama radio tidak dianggap sebagai karya sastera?

Bagi penulis, jika drama radio tersebut turut mengutarakan soal nilai kemanusiaan, keindahan seni bahasa, dialog, lakonan suara, dan unsur-unsur drama – walaupun hanya dipersembah menerusi pengucapan pelakon, atau percakapan antara watak di samping kesan bunyi yang berkaitan, drama radio tetap boleh dianggap sebagai karya sastera (sebagaimana drama televisyen dan teater).

Perkara-perkara tersebut membuatkan drama radio berbeza daripada drama televisyen dan teater. Kita mendengar dan melihat pergerakan, sekali gus mendengar suara pelakon dan perhiasan berkaitan semasa menonton drama televisyen dan teater, walaupun antara drama televisyen dengan teater sendiri ada perbezaan tertentu.

Janganlah kekurangan dan perbezaan antara drama radio dengan drama televisyen menjadi penyebab untuk menyisihkan, atau menganggap drama radio bukan karya sastera. Diharapkan juga hal itu bukan sama sekali menjadi punca drama radio tersisih.

Tidak lengkap dan tidak wajar meletakkan sebuah hasil sastera, apatah lagi yang bermutu untuk siaran media elektronik jika drama radio ditolak. Perkembangan kesusasteraan kita akan kerugian jika sesetengah karya drama diketepikan daripada lingkungan drama keseluruhannya.

Tidak lama dahulu drama televisyen juga tidak diterima sebagai karya sastera meskipun sambutan penonton terhadapnya baik. Walau bagaimanapun, sedikit demi sedikit, akhirnya dianggap juga sebagai karya sastera.

Tiada sebab atau alasan yang pasti bagi perubahan apresiasi tersebut. Mungkinkah kerana setelah teater seperti Bukan Lalang Ditiup Angin, Atap Genting Atap Rumbia, Tok Perak, Alang Rentak Seribu, Anjang Aki, dan Syyy dijadikan drama televisyen, maka baru drama televisyen dianggap sebagai karya sastera?

Adakah setelah teater tersebut atau teater-teater lain dijadikan drama radio pula, baru drama radio dianggap sebagai karya sastera?

Barangkali boleh berlaku sedemikian kerana tidak mustahil teater wajar dijadikan drama radio, ataupun drama radio menjadi teater atau drama televisyen. Namun begitu, jika setelah diangkat sedemikian baru drama radio bertaraf sastera, hal ini merupakan perkara yang menyedihkan.

Tanpa diangkat-angkat sedemikian sebagai antara cara mempopularkan, atau menyalurkannya dengan lebih luas, drama radio sememangnya karya sastera. Jika filem yang dianggap asing pun sudah ada segelintir sasterawan yang menerimanya sebagai karya sastera, apatah lagi drama radio yang datang daripada kelompok drama?

Penekanan kepada pembelajaran untuk para pelajar semasa perintah kawalan pergerakan mengikuti bahan-bahan Komponen Sastera dalam bahasa Melayu (KOMSAS), dan subjek lain menerusi audio boleh dilaksanakan.

Alasan mengatakan drama radio kurang mendapat sambutan, dan pendengarnya terbatas kepada suri rumah tangga sahaja tidak dapat diterima. Drama radio (yang muncul lebih dahulu daripada drama televisyen) juga terkenal, malah turut menampilkan banyak cerita bermutu.

Meskipun dalam drama yang popular mungkin terkandungnya mutu dan dalam drama yang bermutu barangkali menerima sambutan yang popular, drama yang dianggap bermutu belum tentu terkenal, dan drama yang terkenal itu tidak semestinya bermutu. Namun begitu, taraf drama sebagai karya sastera tetap kekal.

Dalam kata lain, terkenal atau tidak, bermutu atau sebaliknya, drama radio sememangnya karya sastera. Penentunya ialah ciri-ciri drama yang dimilikinya, yang memang merupakan sastera. Diharap pada masa akan datang, hal ini mendapat pertimbangan yang sepatutnya.

Ketika diminta pendapat mengenai isu ini, Shukri Abdullah meletakkan peranan media massa sendiri seperti RTM untuk mempromosikan drama radio terbitannya. Namun bagi Shukri, badan penyiaran kerajaan tersebut sendiri tidak menganggapnya penting.

Shukri, juara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan 1996, mengambil drama radio khas Hari Raya terbitan RTM (siaran Klasik FM) pada 13 Mei lalu sebagai contoh.

“Sepatutnya drama itu dipromosi secara meluas, bukan hanya di radio, tetapi juga di stesen televisyen RTM, supaya ramai yang tahu. Drama tersebut tidak wajar dilepaskan kerana menampilkan pelakon terkenal seperti Beto Khusyairi, Che Kem dan Mardiana Alwi,” ujar Shukri yang kesal drama berkualiti sedemikian tidak diketahui ramai.

Shkuri menambah, selain promosi, hal yang turut menjadi masalah utama badan penyiaran kerajaan sekarang ialah skrip drama radio yang bermutu tinggi dan menarik.

“Saya fikir perlu ada panel penilai dalam kalangan pakar (baik dalam bidang drama, skrip ataupun bahasa) sebelum sesebuah skrip diketengahkan. Pemilihan pelakon juga penting kerana perlu sesuai dengan watak. Drama radio ialah karya audio yang perlu menitikberatkan kemampuan vokal, nada dan intonasi,” ujar Shukri.

Drama radio, katanya lagi, wajar menjadi sesuatu yang berharga kerana kebanyakannya kini cuma diterbitkan oleh RTM sahaja. Jadi, tegasnya, fikirkan bagaimana mahu menjadikan drama radio relevan dan diikuti oleh masyarakat yang lebih cenderung dengan media sosial sekarang.

Menurut Shukri, bahagian tempatnya bertugas sekarang, iaitu Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia pun mahu beralih semula kepada audio pendidikan. Jadi, saranannya, penekanan kepada pembelajaran untuk para pelajar semasa perintah kawalan pergerakan mengikuti bahan-bahan Komponen Sastera dalam bahasa Melayu (KOMSAS), dan subjek lain menerusi audio boleh dilaksanakan. Suatu hal yang Shukri tidak sedari ialah, kini terdapat juga aplikasi media sosial yang berbentuk audio, yang juga agak terkenal dalam kalangan warga natif digital, iaitu “audio siar” (podcast) dalam internet dan apikasi Clubhouse (aplikasi yang membenarkan perbincangan secara audio secara talian). Aplikasi baharu ini boleh dijelajahi untuk memberi nyawa baharu pada ruangan siaran berbentuk audio.

Pegawai di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Che Kem pula memang menganggap drama radio ialah karya sastera.

“Saya dapati aspek bahasa buat skrip drama radio di RTM lebih tersusun. Kalau slot purbawara, kata bualnya sangat indah dan masih bersifat klasik,” katanya, yang juga kerap diundang berlakon dalam drama radio.

Drama di radio swasta tambah Che Kem, atau nama sebenarnya, Mohd Kamarulzaman Taib, lebih banyak menggunakan bahasa kolokial, dan cara atau gaya orang muda.

“Sekarang, hanya RTM yang masih menerbitkan drama radio secara berjadual. Radio swasta tidak berminat. Kalau ada pun, hanya untuk slot khas sahaja,” kata Che Kem, yang pernah memegang watak Tunku Abdul Rahman dalam filem 1957: Hati Malaya pada tahun 2007.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi