Oleh Karmila Azmi
4 Jun 2021, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Isu perbandingan antara novel popular dengan novel sastera sudah lama berlalu. Malah, tembok definisi itu sudah lama diruntuhkan apabila banyak naskhah novel yang dikatakan sebagai naskhah popular itu membawa muatan sastera yang sangat baik.

Banyak novel terbitan penerbitan bebas dan kecil seperti Jemari Seni, Fixi dan PTS yang berkualiti, malah ada yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, misalnya Sepetang di Kafe Biblioholic oleh Ainunl Muaiyanah Sulaiman pada tahun 2014.

Lalu, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawakan siri diskusi buku yang mengangkat kajian 10 tahun lalu (tetapi baru diterbitkan tahun lalu), bukankah hal ini memperlihatkan DBP sedikit ketinggalan zaman?

Hal ini yang boleh dirumuskan dalam Siri Diskusi Buku DBP-UM bersama-sama Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman dan Che Abdullah Che Ya selaku pembicara, serta Mohd Shoffi Sukamin selaku moderator menerusi acara dalam talian yang disiarkan dalam laman Facebook DBP.

Naskhah itu, buku Sastera Popular: Antara Komersialisme dengan Intelektualisme yang diulas oleh Che Abdullah ialah kajian yang dibuat pada tahun 2006 dan 2009 yang agak kurang relevan dalam keadaan terbitan novel-novel sekarang.

Hal ini juga disebut oleh Che Abdullah dalam perkongsiannya apabila menegaskan DBP seharusnya memastikan penerbitan naskhah kajian tidak terlalu jauh dengan waktu penulisan supaya bahan yang dihasilkan tidak ketinggalan.

“Dalam isu sastera popular misalnya, kebanyakan naskhah terbitan yang dikaji sudah lama, dan ada banyak perkembangan terbaharu mengenai sastera popular. Memandangkan kajian yang  dilakukan sudah lebih 10 tahun, saya berharap kajian mengenai sastera popular harus diteruskan kerana kajian sebegini turut memainkan peranan besar dalam jalur perkembangan sastera tanah air,” katanya.

Pandangan Che Abdullah sangat jelas apatah lagi bersandarkan perkongsian beliau, pengkaji sastera gagal memahami apakah itu sastera popular.

Hal ini disebabkan kerana pengkaji masih sukar memberikan definisi yang tepat tentang apakah itu sastera popular kerana terdapat pertindihan ciri antara sastera popular dengan sastera serius.

Secara umum, sastera popular itu didefinisikan seperti berikut: karyanya dibaca ramai, dibaca untuk hiburan, bersifat komersial dan rendah nilai estetikanya.

Namun begitu, adakah hal ini bermaksud naskhah sastera serius pula tidak dibaca ramai, tidak dibaca secara santai dan langsung tiada sifat komersial tetapi hanya bersandarkan kepada nilai estetika yang tinggi?

Jika masih begitu definisinya, maka sangat sukar naskhah sastera serius meraih hati pembaca.

Sukar untuk menjawab soalan begini disebabkan tidak banyak kajian mengenai novel sastera popular yang dibuat. Justeru, walaupun buku terbitan DBP ini agak ketinggalan zaman, buku kajian ini merupakan hasil rujukan yang masih perlu diberikan perhatian bagi  memperbetulkan tanggapan negatif terhadap sastera popular kerana sebalik kelemahannya, karya sastera popular turut bercakap tentang moral pendidikan dan pegangan agama yang baik secara langsung mahupun tidak langsung.

Sementara itu, Dr. Norhayati ketika mengupas mengenai Hikayat Perempuan tulisan Amelia Hashim yang diterbitkan oleh DBP pada April 2021 menjelaskan mengenai kekuatan pengarang wanita dari Kedah itu untuk mengangkat dan bercakap mengenai perempuan.

“Naskhah dengan 15 watak ini memberi suara, jiwa dan raga kepada watak-watak wanitanya yang selama ini dibisukan. Ia membolehkan wanita yang dirakam dalam naskhah klasik seperti Sulalatus Salatin diberikan jiwa dan menjawab segala ketidakadilan yang disenyapkan,” katanya.

Buku Sastera Popular: Antara Komersialisme dengan Intelektualisme boleh dibeli di sini dan karya kreatif terbaharu Amelia Hashim, Hikayat Perempuan boleh dibeli di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.