Oleh Fadli al-Akiti
1 Jun 2021, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena bulan Jun 2021, Dewan Sastera menyiarkan kembali wawancara bersama-sama mantan Felow Amat Utama Akademik, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Allahyarham Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady tentang potensi falsafah ilmu dan kesusasteraan dalam pendidikan dan kegeniusan Hikayat Hang Tuah. Semoga Tuhan mengampuninya dan menempatkannya bersama-sama hamba-Nya yang dikasihi. Al-Fatihah. Wawancara ini pernah tersiar dalam Dewan Sastera November 2012.

Kita ialah insan adamiah, menurut al-Quran dan hadis yang dicipta dengan kudrat rahmat-Nya. Kita mampu mencapai kehampiran dengan-Nya dan mampu mendapatkan keredaan-Nya. Kita ialah hamba-Nya dan juga khalifah-Nya di muka bumi ini. Kita bukannya mempunyai zat kehaiwanan seperti imaginasi sosial. Mana boleh zat insaniah dan kehaiwanan bercantum.

Dewan Sastera (DS) mendapatkan tokoh pendidik dan agamawan terkemuka, Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady, untuk memberikan pandangan beliau tentang Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady yang mesra dipanggil “ustaz” merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2005, dan kini menyandang jawatan Felow Amat Utama Akademik, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).

DS: Secara umumnya, bolehkah ustaz berkongsi pandangan tentang situasi terkini pendidikan di negara kita?

Uthman: Secara amnya, saya nampak dalam prinsip “waamma binikmati rabbika fahaddis” (“nikmat engkau sebut”) menuntut kita bersyukur, termasuk dalam bersyukur itu kita ingatkan Dia dalam erti bersyukur. Ingat nikmat bangsa ini penting. Dari tahun 1950-an sampai sekarang, tengok perkembangan pendidikan, daripada buta huruf yang begitu banyak sehingga hampir tidak ada buta huruf. Daripada akses pendidikan yang sangat minima, sampai sekarang ini melonjak sehingga sekitar 80 peratus dan lebih lagi dalam sesetengah bidang. Dalam bidang ekonomi pun, daripada pertanian beranjak ke ekonomi berasaskan pengetahuan dan industri. Dari segi nilai, kita tonjolkan nilai berdasarkan nilai Islam. Kemudian, dan segi profesi, bidang perguruan diberikan penekanan.

Walau bagaimanapun, daripada keunggulan yang ada dalam tamadun Islam, banyak lagi hal lain yang perlu kita giatkan. Guru mesti berfungsi sebagai mualim, penyampai ilmu yang betul. Guru perlu menjadi ahli tarbiah, meningkatkan peribadi manusia. Guru perlu menjadi muaddib, pendidik adab. Guru perlu menjadi penyampai nilai dan prinsip yang betul, “irsyad”. Guru perlu menjadi pengajar kemahiran sehingga ke paras yang sangat tinggi dalam semua bidang – seorang “mudarris”.

Dalam keunggulan tamadun Islam, memang banyak perkara yang perlu kita buat. Ringkasnya, saya bersyukur kepada Allah dan pemimpin kita yang buat baik. Saya pandang positif, betul jika dipandang dari aspek tertentu khususnya dalam senario antarabangsa, dari segi pencapaian sains dan teknologi, ada banyak ruang yang perlu kita penuhkan. Walau bagaimanapun, berbanding dengan negara Islam lain, kita ini seperti Andalusia abad ke-21. Saya menggunakan istilah ni dengan perasaan yang betul dan sedar.

DS: Dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan, terdapat lima aspirasi yang mahu diangkat dalam diri seseorang pelajar. Antaranya, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Menurut pandangan ustaz, apakah ada teks persuratan lama kita, sastera atau bukan sastera yang sesuai untuk mengangkat aspirasi ini?

Uthman: Memang ada. Banyak teks persuratan dan sastera tradisional mampu memberikan nilai, identiti, rasa harga diri, mampu memberikan makna – the nation of meaning. Hal ini penting walaupun orang kata penekanan tersebut tidak akan mampu menolong kita dalam Teras Produk Nasional (GMP). Sebenarnya kita sedang membangunkan manusia. Untuk membangunkan manusia, kita perlu ada “sense of identity”. Kita ini mewarisi satu tamadun Melayu dan Islam di rantau ini. Kita mesti faham jati diri kita dan di sinilah dapat memahami siapa kita, apa makna hidup kita, apa yang baik dan patut kita buat dan apa yang memberikan harga sebenar pada diri “insan adamiah” itu. Saya selalu tekankan konsep “insan adamiah” ini sebagai The Adamic Man. Jika tidak, orang kita akan terbawa-bawa dengan khayalan dan imaginasi sosial sekarang yang menganggap insan sebagai “the imagined perfected apes and monkey of the 21st century”.

Kita ialah insan adamiah, menurut al-Quran dan hadis yang dicipta dengan kudrat rahmat-Nya. Kita mampu mencapai kehampiran dengan-Nya dan mampu mendapatkan keredaan-Nya. Kita ialah hamba-Nya dan juga khalifah-Nya di muka bumi ini. Kita bukannya mempunyai zat kehaiwanan seperti imaginasi sosial. Mana boleh zat insaniah dan kehaiwanan bercantum. Nafsu itu dirangkum dalam aspek insaniah, bukan aspek kehaiwanan. Kita kena faham jati diri kita, dan jati diri kita ialah Islam. Apabila bergelar Islam, kita tekankan yang memandu kita ialah wacana perdana, bukannya teori perpinggiran. Di sanalah pelbagai persoalan diungkapkan. Kita dijelaskan tentang apa itu kebajikan, apa itu kebaikan.

Wacana agung kita sekurang-kurangnya ada empat. Satu, aspek teologi, iaitu tentang Tuhan dan ketuhanan. Kedua, wacana kerohanian, moral dan falsafah. Kesempurnaannya ada dalam aspek Imam al-Ghazali. Kemudian, kita ada wacana hukum, berpaksikan imam mujtahid. Dalam konteks negara ini, kita berpaksikan kepada mazhab Imam Syafie. Yang keempat, wacana ketamadunan budaya, kita berpaksikan Ibn Khaldun dan pada zaman moden ini, Malek Bennabi. Hal ini perlu ditekan dan ditonjolkan dalam mana-mana ruang yang boleh dalam sistem pendidikan kita. Apabila ditekankan bangsa Melayu, bukannya kita rasis, tetapi bangsa ialah salah satu daripada ayat Allah, bukan hanya kemalangan dunia yang tidak bersangkut paut dengan kesakralan, sebab bangsa ini termasuk dalam ayat Allah. Dalam Surah Luqman, Allah ada berfirman, “Kelainan yang terdapat dalam bangsa-bangsa kamu ialah warna kulit dan bahasa kamu”. Apabila Allah memartabatkan bahasa, ikhtilaf al-sinatikum, itu membawa kita kepada renungan yang menusuk kalbu. Apabila kita sebut Melayu, bukan darah daging per se, tetapi nilai dan prinsip yang ada pada bangsa itu. Jati diri kita ada dalam sastera, dan sastera lama itu terkait dengan Islam. Hal ini terpapar dalam gurindam, pantun, pepatah dan prosa. Banyak teks ini memperlihatkan kesepaduan antara wahyu dengan akal.

DS: Anjakan kedua dalam Laporan Awal Pembangunan Pendidikan, memperkenalkan Sastera Inggeris. Dalam masa yang sama, kelas Kesusasteraan Melayu di sekolah makin mengecil. Ustaz ada menyentuh soal ketamadunan budaya, sastera kebangsaan memainkan peranan utama. Oleh yang demikian, apakah tanggapan ustaz terhadap hal ini?

Uthman: Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan dimuktamadkan pada Disember 2012 nanti, bidang sastera janganlah ditinggalkan, tetapi patut menjadi teras. Hal ini demikian kerana kita mahu mendidik manusia berfikir agar boleh menaksir sesuatu. Hal itu yang diajar dalam sastera. Dalam sains, hanya fakta semata-mata. Betul kita memerlukan fakta dan teori saintifik dalam membangunkan bangsa, tetapi kita tidak boleh melupakan aspek imaginatif yang ada dalam tamadun manusia. Oleh sebab itu, kita perlu menekankan pembelajaran sastera taraf tinggi agar sesuai dengan objektif yang hendak dicapai.

Jika kita melihat dalam tamadun kita, banyak pemimpin terdahulu yang terlibat dalam dunia sastera. Raja Ali Haji misalnya, pengarang sastera yang ulung. Ulama besar terlibat juga dalam sastera seperti Imam Syafie. Ibn Hazam juga mempelajari sastera. Hasil sasteranya dipuji sebagai sangat tinggi oleh orientalis Barat. Shahrastani, pengarang al-Milal wa al-Nihal juga begitu. Dahulu, di istana Melayu, waktu hendak berperang pun mereka membaca buku sastera. Maka aspek imaginatif tidak boleh terpisah. Kata-kata orang Melayu lama banyak mempunyai aspek ini, jadi perlu digabungkan dengan aspek saintifik. Kita mahu generasi yang dilahirkan sekarang perlu mempunyai akal sepadu. Ada tiga aspek tentang akal sepadu. Yang pertama akal rasional. Dengan akal inilah kita berfikir dan menajamkan pemikiran. Kemudian, akal ubudiyyah, yang datang dengan iman, kekhusyukan dalam ibadah, dan kesedaran tentang Tuhan. Yang ketiga akal amali, berkaitan dengan praktikal, kemahiran, kepandaian dan pertukangan.

Dalam sastera Melayu, sampai sekarang tidak ada contoh yang terbaik yang menggabungkan hal ini, kecuali dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah mempunyai pemikiran yang tajam sebelum melakukan sesuatu. Hang Tuah akan masuk ke dalam pustaka, kemudian melakukan perancangan dengan teliti. Dari aspek ubudiyyah, ibadah yang dilakukan oleh Hang Tuah sangat hebat. Kesedarannya tinggi. Dalam kisahnya, Hang Tuah bertemu dengan Nabi Khidir a.s. Jika sudah bertemu dengan Nabi Khidir, taraf kematangan rohaniahnya sangat tinggi. Itulah gambaran dalam sastera imaginatif. Dalam realiti sejarah, itu soal lain. Keberkesanannya dalam tindakan amat hebat. Saya menggambarkan bahawa Hang Tuah ini seperti puting beliung dalam erti yang positif. Puting beliung mempunyai titik tengah yang tidak bergerak, hal ini merujuk kepada peribadi dan rohaninya, tentang zikir dan tafakurnya. Bahagian luar itu gerak-gerinya. Beliau sentiasa melakukan pelbagai hal yang sangat menakjubkan dan sangat intensif. Itulah gambaran peribadi yang diperlukan sekarang. Hanya sastera yang boleh memberikan gambaran semacam itu.

Dalam masyarakat, kalau kita ambil Hang Tuah sebagai gambaran masyarakat, banyak yang positif. Ada kesepaduan akal rasional, akal ubudiyyah dan akal amali. Dari segi guru, kepimpinan, persahabatan, penguasaan bahasa dan ilmunya mengikut keperluan. Hang Tuah mempunyai akauntabiliti yang tinggi sehingga kepentingan dirinya tidak ada. Sultan pada Hang Tuah bukannya dilihat sebagai individu, tetapi satu institusi. Jika sultan tidak ada, akan berlakunya kekejaman (barbarian). Orang Islam tanpa ulil amri akan menjadi kaum jahiliah. Betul, dalam syariat, orang yang memberontak terhadap ulul amri, itu kaum bughah, kaum penderhaka, kecuali pemimpin kuffar. Hal ini bukan masalah fahaman parti, ini yang selalu saya tekankan, ini ialah masalah ketamadunan.

DS: Apakah harapan ustaz terhadap sastera kita?

Uthman: Saya mempunyai harapan yang positif, bahawa kita membina tradisi sastera yang baik, hasil daripada pengalaman kita yang berlaku selama ini seperti yang tergambar dalam sejarah kita. Perubahan mestilah berdasarkan kesinambungan ini. Saya bersandarkan harapan pada keyakinan kita terhadap Allah SWT, nikmat yang telah kita capai, bibit-bibit yang perlu kita tambah baik dan gabungkan. Kita perlu menyatukan kembali pemikiran orang Melayu yang sudah tercecah oleh pelbagai pemikiran yang dalam banyak hal, datang daripada keadaan yang tidak cermat dan gejala ini mestilah ditangani dengan kembali kepada wacana arus perdana. Saya mempunyai keyakinan bahawa kita mampu berhadapan dengan segala cabaran ini, kerana telah di“amin” oleh Nabi SAW. Bangsa Melayu ialah satu bangsa yang berada dalam arus perdana Islam. Kita tidak harus berada di luar arus itu, melainkan jika ada usaha hendak memesongkannya. Kita perlu kembali kepada akal umbi, jati diri dan nilai rohani, seperti yang tergambar dalam pepatah kita, “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah”. Wallahualam.

_________________________

Beli Hikayat Hang Tuah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.