Oleh Fadli al-Akiti
8 Mei 2021, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Dewan Sastera (DS) menyiarkan kembali wawancara bersama-sama Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Haji Abdullah Hussain. Beliau yang sangat dikenali sebagai seorang penyusun naratif yang pintar menyampaikan kata-kata pesanannya tentang kepentingan menghayati jati diri dan pegangan agama yang masih relevan sekarang. Semoga Tuhan mengampuninya dan menempatkannya bersama-sama hamba-Nya yang dikasihi. Al-Fatihah. Wawancara ini pernah tersiar dalam Dewan Sastera Mei 2012.

Pada pandangan saya berkenaan agama Islam, bukan sahaja di Tanah Melayu tetapi di dunia sudah mulai merosot kerana gerakan pihak tertentu. Kita mesti membela, melawan, kerana agama Islam adalah agama Allah SWT.

Sasterawan Negara Datuk Haji Abdullah Hussain, sasterawan, novelis, cerpenis, penterjemah, penulis autobiografi dan biografi. Sesungguhnya beliau pengarang yang bangun, bernafas dan tidur untuk susastera. Februari lalu, penulis berpeluang menemui beliau di rumahnya, di Petaling Jaya. Wajah gembira yang beliau ukirkan, melihat kedatangan beberapa pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke rumahnya, menyambut mesra dan penuh keceriaan. Beliau tidak berapa sihat tetapi masih tetap menggagahkan diri menyambut tetamu. Beliau kini menulis menggunakan pen, di atas buku latihan dan kertas kajang. Separuh daripada hati penulis berasa bersalah apabila menghulurkan soalan buatnya. Tetapi beliau terus sahaja menerima. Beliau cuma mahu terus menulis.

DS: Datuk masih membaca?

Abdullah: Saya masih tetap membaca terutama al-Quran, surah Yasin sebelum solat fardu. Saya membaca buku yang saya terima daripada DBP. Saya baru selesai membaca setiap cerpen dalam antologi Cinta Sekerdip Embun (Antologi Cerpen Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia), susunan Anwar Ridhwan. Saya cuma boleh baca satu cerpen sahaja pada satu-satu masa, setengah jam atau satu jam, saya duduk di kerusi roda di luar rumah. Saya sakit sekarang.

Sekarang, saya mulai membaca Cinta Masitah (Antologi Cerpen Berunsur Islam) yang saya baru terima daripada DBP.

DS: Dan Malam, Apabila Ia Berlalu merupakan novel mutakhir Datuk. Selepas novel besar ini, apakah Datuk masih bersemangat menulis?

Abdullah: Novel Dan Malam, Apabila Ia Berlalu ialah novel saya sebelum saya sakit. Saya memang suka menulis.

DS: Apakah perasaan Datuk terhadap perkembangan anak Datuk, Ahmad Patria?

Abdullah: Saya bangga dengan anak sulung saya, Ahmad Patria kerana dia mengikut jejak langkah saya, walaupun dia lebih gemar fiksyen sains, kerana dia anak muda dan belajar sains.

DS: Kebanyakan karya Datuk yang berlandaskan keislaman banyak menampilkan masalah sosial Melayu Islam semasa.

Abdullah: Saya mula menulis tentang Islam lebih awal lagi, tetapi kalau saudara perhatikan dengan teliti, semua novel saya sebenarnya mengangkat Islam, walaupun Kuala Lumpur Kita Punya. Ada pensyarah yang mengatakan novel itu lucah, tetapi dia tidak faham tentang penghabisan novel itu.

Pada pandangan saya berkenaan agama Islam, bukan sahaja di Tanah Melayu tetapi di dunia sudah mulai merosot kerana gerakan pihak tertentu. Kita mesti membela, melawan, kerana agama Islam adalah agama Allah SWT. Ada pihak luar negara yang benci dan anti dengan Nabi Muhammad SAW, kerana mereka terpengaruh dengan gerakan tertentu. Saya cuba menulis Masuk ke Dalam Cahaya, Imam dan novel terakhir, Dan Malam, Apabila Ia Berlalu kerana saya mahu anak Melayu di Malaysia dan di seluruh dunia faham dan berpegang kuat kepada ajaran agama Islam. Islam agama yang betul. Namun, ada pihak tertentu tidak percaya dengan Islam kerana mereka terpengaruh oleh perasaan dengki. Ada beberapa orang pemimpin terdahulu yang anti-Islam. Kita perlu melawannya.

Saya menulis dalam bahasa Melayu kerana saya mahu mempertahankan orang Melayu. Kalau ada penterjemahan karya saya, seperti Into the Light, itu amat baik sebagai tatapan dan pendedahan kepada orang di luar Malaysia.

DS: Dunia komuniti penduduk kampung dalam Masuk ke Dalam Cahaya seakan-akan penciptaan suatu kampung utopia Islam yang harmoni, menghampiri sejarah sistem komuniti Amish Mennonite ataupun Mormon di Amerika Utara yang menahan komuniti mereka bercampur dengan kemodenan dan hedonisme kota. Bagaimana Datuk mendapat ilham?

Abdullah: Apabila saya menulis Masuk ke Dalam Cahaya, saya tidak meniru sesiapa. Pada masa (penulisan) itu, saya banyak membaca al-Quran dan dari situ saya dapat idea. Saya mahu membayangkan sebuah komuniti Islam yang tulen dalam novel tersebut.

Apabila saya menulis, biasanya ada benda yang mahu saya ceritakan. Bacalah Proses Kreatif: Satu Pengalaman Rohani yang saya tulis. Di situ ada saya tulis bagaimana saya mendapat idea.

DS: Dan Malam, Apabila Ia Berlalu dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai propaganda Islam Hadhari, dan kini Islam Wasatiah (kesederhanaan), komen Datuk?

Abdullah: Saya tidak peduli apa-apa orang kata tentang novel saya Dan Malam, Apabila Ia Berlalu. Saya mahu orang Islam yang begitu (dalam novel tersebut). Mereka mesti kuat dan ada komuniti sendiri. Terutamanya di Amerika Utara dan di Eropah. Mereka mendepani kemodenan yang pesat dan pelbagai pengaruh asing di sana. Orang Islam tidak ditakrif melalui istilah “sederhana”. Islam itu bererti Islam lahir dan batin.

DS: Apakah pandangan Datuk tentang adaptasi novel ke filem? Saya rasakan karya Datuk paling mudah untuk diadaptasi ke filem.

Abdullah: Saya harap pembikinan filem buatlah filem daripada novel. Bukan novel saya sahaja. Semua novel boleh cuba diadaptasi. Sayangnya, mereka (pembikin filem) memeras otak untuk buat skrip baharu. Mereka tidak mahu pilih novel yang banyak sudah diterbitkan. Mereka takut novelis menjadi terkenal, lebih terkenal daripada mereka. Novel dan cerpen saya, memang boleh dibuat filem. Bukanlah pula saya menulis untuk (karya saya) dibuat filem tetapi memang boleh dijadikan filem. Tidak salah. Nasihat saya, para pembikin filem, buatlah filem daripada novel atau cerpen orang lain dahulu. Tetapi biasalah, sifat manusia terlalu sombong, maka jadi begitu.

DS: Ada diceritakan bahawa Datuk pernah terlibat dengan gerakan kemerdekaan dan penentangan penjajah Belanda di Aceh. Kemudian, setelah membunuh beberapa penjajah dan menjadi buruan, Datuk lari ke Tanah Melayu. Bagaimana komen Datuk tentang isu ini?

Abdullah: Saya tidak pernah bunuh orang. Saya memang ikut serta dalam revolusi politik Indonesia dan pernah ikut pegang senapang. Saya pernah ikut rakan-rakan bunuh orang tetapi itu hukuman, sesudah mahkamah tentera menghukum (askar itu). Saya keluar dari Indonesia kerana Imigresen Indonesia percaya dengan aduan seorang hamba Allah yang saya sudah tolong di Pulau Pinang. Tetapi saya tidak marah, itu hak dia.

DS: Sebagai sasterawan pada lewat usia, adakah penyesalan terbesar Datuk?

Abdullah: Saya tidak menyesal, saya cuma mahu menulis sahaja.

DS: Apakah harapan Datuk untuk sastera dan masyarakat kita?

Abdullah: Saya harap orang Melayu di mana sahaja mereka berada, sekarang dan akan datang, maju dan sedar akan dirinya sebagai seorang Melayu yang beragama Islam.

_________________________

Beli novel Masuk ke Dalam Cahaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.