Oleh S.M. Zakir
20 April 2021, 07:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kolumnis S.M. Zakir meneliti dan mempamerkan (semacam) gelombang baharu dan segar daripada kumpulan penulis dan karya sastera lapis baharu Malaysia.

Karya-karya sastera yang berada di luar lingkungan arus perdana ini sememangnya semacam tersisih daripada dunia sastera, tetapi berdiri dengan kekuatan sendiri dalam jiwa pembaca.

Sekitar dekad 2010-an, muncul buku-buku sastera yang terbit di rumah-rumah penerbitan di luar arus perdana. Premis ini dilabel sebagai rumah penerbitan mandiri (tetapi istilah ini bersalahan kemudiannya apabila sebahagian rumah penerbitan ini mendapat dana dalam bentuk geran dan pinjaman yang besar daripada kerajaan, sekali gus ia bukan mandiri lagi). Hal tentang label mandiri atau tidak ini tidak penting, apa yang penting ialah terbitnya banyak buku cerita, antaranya ialah buku-buku sastera.

Antara buku-buku sastera yang terbit di rumah-rumah penerbitan ini termasuklah Kunang Pesisir Morten oleh Raiha Bahaudin, Debu Bidadari oleh Syafiq Ghazali, Tinju dan Peluru oleh Johan Radzi, Metaskandal oleh Azrin Fauzi, Tari Pasar Perempuan oleh Fazleena Hishamuddin, serta banyak lagi. Malah, penulis mapan di arus perdana seperti Wan Nor Azriq turut menerbitkan novel sasteranya di rumah penerbitan ini, seperti Kala Bulan Bermain Biola. Sementara itu, Fadh Razy menubuhkan Katapilar dan menerbitkan banyak karya sastera berbobot, antaranya termasuk Nokturna, Sepasang Sayap Tumbuh di Bahu dan sebagainya. Begitu juga dengan Legasi Oakheart.

Penulis-penulis lapis baharu yang menulis sekitar dua dekad awal abad ke-21 mencari ruang kebebasan ekspresi di luar penerbitan arus perdana. Hal ini mungkin kerana (antaranya) timbulnya stigma terhadap sastera arus perdana. Penulis lapis baharu ini kemungkinannya sama ada mencari ruang berkarya yang lebih terbuka, selesa dengan rumah penerbitan kecil yang tidak banyak benang merah, karya lebih cepat diterbitkan atau membawa semangat zaman mereka. Maka, penulis-penulis lapis baharu pada dekad-dekad awal abad ke-21 mencari ruang berkarya yang bukan sahaja memberi mereka ruang berekspresi yang terbuka tetapi memerdekakan mereka daripada apa-apa yang dianggap oleh mereka sebagai “rejim” sastera atau bahasa.

Tidak dapat dinafikan, terdapat kekurangan dari segi penyuntingan, tatabahasa dan teknikal penerbitan berbanding penerbitan arus perdana seperti Dewan Bahasa dan Pustaka contohnya, yang cukup tegas dalam hal bahasa dan teknikal penerbitan. Namun, perkara yang ingin dibicarakan di sini ialah soal kehadiran karya sastera di luar penerbitan arus perdana. Muatan yang dibawa oleh karya-karya ini berkisar pada isu yang sangat intim dengan masyarakat, malah meneroka sudut-sudut gelap yang menjadi tabu dalam penerbitan arus perdana. Sejak bila soal seksual, dunia gelap dan sisi kotor masyarakat menjadi tabu secara semu dalam sastera arus perdana tidaklah dapat dipastikan. Sebelumnya, sastera menerima sahaja Sami Mekong, Kuala Lumpur Kita Punya, Pertentangan, Terdedah, Tivi, Songsang, malah Buah Dada karya Ruhi Hayat dan sebagainya.

Debu Bidadari oleh Shafiq Ghazali ialah hasil sastera yang menarik apabila mengangkat sisi gelap masyarakat di negeri yang dikatup oleh hukum-hukum Islam yang ketat. Keberanian dan kejujuran penulis merupakan suatu kemerdekaan dalam berkarya. Tari Pasar Perempuan oleh Fazleena Hishamuddin turut memiliki faktor ini. Cerpen-cerpen Fazleena bercerita tentang kecurangan, hubungan seksual terlarang dan perasaan bergaul libido yang mencipta ruang kebenaran yang tersendiri. Kedua-dua kumpulan cerpen ini merupakan karya sastera yang baik. Kedua-duanya begitu spontan mencurahkan dan melepaskan segala ekspresi tanpa terbatas pada tabu sosial dan nilai yang dipaksakan ke dalam sastera. Johan Radzi tidak ketinggalan dengan Tinju dan Pelurunya, dan Anas Mohd dengan kumpulan cerpen oleh penerbit yang sama.

Adakah sastera perlu mengambil alih fungsi kitab hukum dan menjadi polis moral masyarakat? Tidak. Sastera ialah sastera. Sastera membiaskan segala yang baik dan segala yang buruk dalam masyarakat. Sastera membiaskan segala yang suci dan segala yang kotor, malah yang jahanam dalam masyarakat. Maka, kekotoran dan ketidaksucimurnian yang dibawa masuk ke dalam karya-karya ini memberikan kepuasan manusiawi yang benar kepada pembaca (seperti saya, yang sering bosan dengan sastera suci yang dibuat-buat?). Terdapat begitu banyak buku penerbitan mandiri yang meluah polos hal-hal sebegini. Tetapi sebahagian besar lebih kepada luahan emosi yang mengarut dengan bahasa yang lintang-pukang. Sekali gus kekal sebagai bacaan ringan kepada pembaca. Tetapi sebahagian karya penerbitan mandiri seperti judul yang disebutkan membawa muatan sastera dengan bahasa yang punya unsur estetiknya.

Kunang Pesisir Morten oleh Raiha Bahaudin sebuah karya sastera yang mengingatkan saya pada novel Ahad karya Zakaria Salleh. Novel yang mengambil sudut pandang watak kanak-kanak ini membiaskan realiti masyarakat pesisir sungai di Melaka pada tahun 80-an yang sama sekali berbeza dengan apa yang dilihat pada hari ini. Karya ini nostalgik dan sentimental. Turut menyerapkan sisi-sisi cerdik pengkaryaan secara spontan. Sekali gus menjadi bahan sastera yang baik. Metaskandal oleh Azrin Fauzi ialah karya sastera eksperimental yang tekal. Karya Azrin menurut langkah Wan Nor Azriq yang tekal dengan karya-karya garda depannya.

Wan Nor Azriq yang menulis di kedua-dua rumah penerbitan mandiri dan arus perdana meletakkan Kala Bulan Bermain Biola dalam dunia penerbitan mandiri sebagai penunjuk kepada kehadirannya yang tekal. Lokman Hakim juga tidak ketinggalan menunjuk kehadirannya di mana-mana ruang penerbitan (yang terlebih dahulu muncul dalam penerbitan mandiri). Tidak lengkap untuk bercakap tentang sastera di luar penerbitan arus perdana jika tidak menyebut tentang penerbitan Katapilar yang diasaskan oleh Fadh Razy dan Rasydan Fitri. Katapilar menjadi bilik penghasilan karya-karya puisi kontemporari terbaik penulis-penulis lapis baharu, yang kebanyakannya datang daripada hasil penerbitan pemenang sayembara kumpulan puisi Katapilar.

Karya-karya sastera yang berada di luar lingkungan arus perdana ini sememangnya semacam tersisih daripada dunia sastera, tetapi berdiri dengan kekuatan sendiri dalam jiwa pembaca. Karya-karya ini membawa citra realisme sosial yang menjadikannya dekat dengan masyarakat. Terdapat semacam jalur realisme sosial dalam bentuk kontemporari yang dibawa dalam karya-karya ini. Sekali gus menjadi biasan kepada zaman hari ini. Masih terlalu awal untuk dikatakan karya-karya ini menumbuhkan semangat zaman, apatah lagi penerbit-penerbit mandiri juga telah banyak lenyap dan mematikan karya-karya realisme sosial yang baru mahu tumbuh. Tetapi sekurang-kurangnya, terdapat bibit atau riak kepada suatu gelombang realisme sosial yang tersendiri dalam karya-karya ini.

Setiap gelombang dalam sastera selalu datang tanpa sedar, daripada reaksi spontan yang berjangkit dari satu orang ke satu orang yang berkongsi perubahan dalam zaman yang sama. Sastera Malaysia hari ini bergerak aktif dan maju dengan lahirnya begitu banyak karya sastera yang kuat malah hebat. Kemungkinan sebuah gelombang akan hadir dari sini, ataupun telah ada riak-riak yang sedang menanti waktu.

_________________________

S.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi