Oleh S. Jaafar Husin
16 April 2021, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena Jubli Emas Dewan Sastera pada tahun ini, kami siarkan kembali esei sorotan khas oleh S. Jaafar Husin tentang kelahiran awal Dewan Sastera pada Januari 1971 di bangunan Percetakan  Ari di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur. Saat legenda itu ditunggu-tunggu oleh pengarang setianya, Sasterawan Negara Usman Awang dan Latiff Mohidin. Esei ini pernah tersiar dalam isu 10 Tahun Dewan Sastera, Januari/Februari 1981 sempena sambutan Satu Dekad Dewan Sastera (1971-1981).

Sepuluh tahun dulu bukan macam sekarang. Sebagaimana dengan majalah Dewan Masyarakat, begitulah dengan Dewan Sastera, kami sidang pengarang kononnya jadi ‘pakar’ dalam semua bidang kerja penerbitan.

Menjelang subuh, Latiff Mohidin yang sepanjang malam berada di Percetakan Art di Jalan Riong bersama Usman Awang, baru terasa lapar. Mereka keluar mencari kalau-kalau ada kedai yang masih atau telah dibuka. Sebuah kedai kopi, roti bakar dan beberapa cawan kopi O. Tapi mereka tidak lama di situ. Rasa ghairah dan tidak sabar memaksa mereka kembali ke percetakan.

Kira-kira jam enam pagi, 13 Januari 1971, Usman dan Latiff, lesu tapi puas, meninggalkan Percetakan Art, masing-masing membawa pulang seorang senaskhah majalah Dewan Sastera, keluaran sulungnya. “Saya bersama Usman Awang sejak siang di Percetakan Art,” cerita Latiff ketika ditemui. “Saya bekerja secara sukarela,” sambungnya. “Memang sejak dari mula terbitan pertama Dewan Sastera dikerjakan di Dewan Bahasa, saya membantunya, terutama dalam hal reka bentuk, bersama pereka bentuk Dewan, Hassan Majid.

“Setelah Dewan Sastera mula terbit, saya terus membantu setakat terdaya. Saya berusaha mencari bahan, terutamanya sketsa. Saya bawa majalah itu ke mana-mana, tunjuk kepada kawan-kawan. Bersama-sama Hassan Majid saya memilih sketsa-sketsa untuk disiarkan.”

Maka lahirlah Dewan Sastera, yang sejak beberapa lama menjadi buah mimpi begitu ramai penulis tanah air. Terbitlah sebuah majalah yang mulanya dikendalikan oleh Kamaludin Muhammad (Keris Mas) sebagai ketua pengarangnya, dengan Usman Awang, Abdullah Hussain dan Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) sebagai sidang pengarangnya. Tiba ke bilangan keduanya, anggota sidang pengarang ini ditambah pula dengan Abu Yazid Abidin (Allahyarham), Salleh Daud, A. Wahab Muhammad (Awam il-Sarkam) dan A. Karim Abdullah. Merekalah yang bekerja, dengan Usman sebagai penggerak utamanya, saban bulan, di pejabat mahupun di percetakan, mengendalikan sebuah majalah yang merupakan “tanda perkembangan kebudayaan urbanisasi moden tanah air yang belajar mengimbangi pembangunan mentalnya … satu percubaan dan refleksi dari kebudayaan kita yang membanteras batas-batas bangsa/keturunan untuk membina kebudayaan nasional dengan identiti kita sendiri tanpa menutup dan memencilkan diri dari kebudayaan dunia yang maju.” (Sidang Pengarang Dewan Sastera, Februari 1971).

Sambutan yang diterima oleh Dewan Sastera jelas amat menggalakkan. Memetik Sidang Pengarang April 1971: “Di luar dari dugaan, Dewan Sastera yang kami cetak untuk keluaran bulan April ini dengan jumlah sekali ganda tambahannya dari jumlah cetakan keluaran pertama bulan Januari lalu. Hal ini suatu tanda yang amat jelas tuntutan masyarakat pembaca yang memerlukan majalah khusus mengenai sastera.”

Masa itu ialah masa yang penuh dengan pencarian dan percubaan bagi Dewan Sastera. Perkembangannya, sebagaimana bentuk dan coraknya berkembang dan berubah, begitu jugalah tenaga yang mengerjakannya. Anggota sidang Pengarangnya turut berubah dari waktu ke waktu. Petugas-petugas baharu mengambil alih dan menyambung tugas mereka yang awal. Demikian antara redaksi Dewan Sastera selama sepuluh tahun usianya tercatat nama-nama seperti Shamsuddin Jaafar, Suhaimi Haji Muhammad, Zainal Abidin Bakar dan Wan Omar Ahmad. Selain Hassan Majid, perekabentuk-perekabentuk Rashid Osman, Israry, Mali Haji Munji dan teman-teman mereka turut menyumbangkan tenaga yang amat diperlukan oleh Dewan Sastera. Sedang Mohamad Alii Zakaria dan crewnya dari Cawangan Seni Foto menyumbangkan tenaga mereka menyediakan gambar-gambar yang menghiasi kulit dan juga isi Dewan Sastera. Sementara itu, Dewan Sastera tidak akan terbit sebagaimana bentuknya tanpa kerjasama yang amat mesra daripada teman-teman dan percetakan. Antara mereka, Maniam, Lim, Kok Wah dan pembantu-pembantu mereka, adalah nama-nama yang payah untuk tidak disebut.

Semasa Dewan Sastera mula terbit, Baharuddin Zainal (Baha Zain) berada di Jakarta melanjutkan pelajarannya. Baha merupakan antara orang yang terawal terlibat dalam usaha melahirkan majalah ini. Bila Baha pulang dari Jakarta dia bertugas sebagai Ketua Cawangan Kajian, di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Dan apabila Keris Mas bersara, Baha mengambil alih tempatnya sebagai ketua bahagian tersebut, sekali gus Ketua Pengarah Dewan Sastera, satu kedudukan dan pertanggungjawaban yang amat bersesuaian dengan harapan dan cita-citanya sejak awal lagi. Dewan Sastera hari ini memasuki usianya yang kesepuluh, di bawah pimpinan Baha Zain.

Anggota sidang pengarang Dewan Sastera 1981, dari kiri: Ma’arof Saad, S. Jaafar Husin, A. Rahman Yusof dan Salmiah Ismail bersama-sama cuba menyelesaikan beberapa masalah penerbitan. (sumber: Dewan Sastera Januari/Februari 1981)

Manakala Usman Awang, setelah hampir sepuluh tahun menjalankan tugas sebagai pengarang, meninggalkan tugasnya ini apabila dia dilantik sebagai Setiausaha Anugerah Sastera oleh Perdana Menteri. Setibanya usia Dewan Sastera sepuluh tahun ini, kami menanyakan Usman tentang suka dukanya, tentang pengalamannya mengendalikan majalah kesayangannya itu selama hampir sepuluh tahun.

Ditanya, bagaimanakah timbulnya idea untuk menerbitkan majalah Dewan Sastera?

Penerbitan keluaran pertama Dewan Sastera agak kelam-kabut. Maklumlah, benda baharu dan ini merupakan tambahan tugas yang nyata tidak mudah.

Usman menegaskan: Saya fikir idea pokoknya memang telah ada dalam matlamat kedua Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu “Memajukan bakat kesusasteraan terutama dalam bahasa kebangsaan”. Cara memajukan bakat memang banyak. Ceramah, seminar, bengkal sudah banyak diadakan. Dan penulis atau bakat yang timbul pun makin banyak. Soalnya sekarang bakat yang begitu banyak, tulisan yang semakin banyak tidak ada tempat untuk menampungnya. Majalah Dewan Masyarakat dihujani dengan sajak dan cerpen yang begitu banyak, sedangkan setiap keluaran Dewan Masyarakat hanya sebuah dua cerpen dan sebuah dua sajak saja yang dimuatkan. Cerpen dan sajak yang begitu banyak semakin memenuhi fail. Penulis merungut, ada sajaknya tak dimuatkan, ada cerpennya tak disiarkan.

Waktu itu saya sering keluar berceramah. Jadi, bila bertemu dengan teman-teman penulis di luar ibu kota saya kempen dan suruh mereka desak Dewan Bahasa adakan majalah sastera. Dengan Zam Ismail dan kawan-kawan penulis Persatuan Penulis Johor, saya suruh mereka buat surat kepada Dewan desak supaya diterbitkan majalah sastera, begitu juga dengan Rejab F.I. di Perlis, dengan Jihaty Abadi di Kedah, dan juga dengan S. Othman Kelantan dan Alias Harun di Kota Bharu. Saya cadangkan supaya membuat desakan kepada pihak Dewan Bahasa untuk menerbitkan majalah khusus sastera. Saya tak fikir kempen begini berdosa dan melanggar peraturan dan undang-undang.

Secara konkritnya yang saya tetap ingat ialah saya dan Baha Zain menemui Pengarah Dewan Bahasa, Sdr. Hassan Ahmad (masa itu belum Datuk lagi). Dan masa itu Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera belum ada lagi. Bila kami kemukakan kepada Pengarah Dewan Bahasa, beliau nampaknya belum yakin dan belum merasa perlu lagi untuk Dewan Bahasa menerbitkan majalah sastera. Alasannya yang masih saya ingat ialah tidak ada tenaga dan tidak ada peruntukan wang. Kata Baha, soal tenaga dan soal wang adalah kecil. Itu boleh diatasi. Baha menyebutkan masalah kurangnya majalah untuk menampung karya penulis yang banyak. Saya ceritakan pengalaman sidang pengarang. Dewan Masyarakat berhadapan dengan karya penulis kreatif yang semakin bertambah. Dua puluh tahun dulu hanya beberapa buah majalah dan satu dua ruangan sastera akhbar yang menampung karya penulis, dan sekarang tempat menampung tak bertambah, tapi penulis bertambah berlipat ganda. Baha memajukan bakat sastera kebangsaan, tapi medianya tak ada. Secara nekad saya pula menawarkan diri untuk mengerjakan majalah sastera di samping menjadi pengarang Dewan Masyarakat. Tak payah tambah gaji dan tak payah beri elaun, kata saya meyakinkan. Dan Baha segera menyampuk: betul, saya sokong. Dalam hati saya berkata, Baha kalau fasal sokong bukan main cepat. Saya berani menyanggupi, sebab saya tahu teman-teman di Bahagian Umum banyak yang boleh membantu. Selain Baha yang saya harapkan tenaganya dan fikirannya, ada Noor Azam, ada Saleh Daud di samping Pak Awam (Awam il-Sarkam). Wijaya Mala (Almarhum), Abdullah Hussain, Kemala dan lain lagi.

Begitulah sekadarnya bagaimana saya menjadi pengarang Dewan Sastera di samping pengarang Dewan Masyarakat.

Bagaimana pengalaman sdr. menerbitkan isu pertama Dewan Sastera?

Usman: Sepuluh tahun dulu bukan macam sekarang. Sebagaimana dengan majalah Dewan Masyarakat, begitulah dengan Dewan Sastera, kami sidang pengarang kononnya jadi “pakar” dalam semua bidang kerja penerbitan. Daripada mengarang dan menerima karangan, daripada membaca dan mengedit atau menuliskan kembali, daripada menyemak pruf dan mencari gambar atau ilustrasinya, sampailah kepada menentukan ukuran, memilih type-face untuk tajuk dan menyediakan iklannya. Dan daripada semua ini sampailah kepada membuat lay-out, menentukan gambar kulit dan memilih warnanya dan menunggu di percetakan sehingga majalah terbit.

Penerbitan keluaran pertama Dewan Sastera agak kelam-kabut. Maklumlah, benda baharu dan ini merupakan tambahan tugas yang nyata tidak mudah. Beban menerbitkan Dewan Masyarakat ditambah dengan Dewan Sastera, dengan tenaga kuda yang kecil. Sidang pengarangnya ialah Abdullah Hussain dan Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Anehnya, orang yang bertungkus-lumus dengan saya di percetakan sepanjang malam membidani Dewan Sastera ialah Latiff Mohidin. Ketika itu, Latiff bukan saja masih solo, tetapi juga dia bekerja dengan dirinya sendiri. Latiff tinggal di rumah saya dan kadang-kadang ikut saya ke Dewan (pejabat). Jadi saya pergunakan bakatnya dan minatnya untuk membantu saya di percetakan. Latiff senang dengan suasana demikian – malangnya dia kerja tanpa upah. Latifflah yang membantu saya dalam soal teknik Dewan Sastera, malah di samping membaca pruf drama sebabak Yukio Mishima yang diterjemahnya untuk keluaran tersebut saya minta Latiff meneliti pruf karangan-karangan lain.

Jadi kalau saudara lihat teknik lay-out Dewan Sastera sekarang, meskipun sudah berbeza dengan teknik lay-out keluaran pertama, namun teknik pada halaman pertama Dewan Sastera tetap kekal sebagai gaya yang telah diukir oleh Latiff Mohidin.

Malam itu saya dan Latiff berada sepanjang malam di Percetakan Art, Jalan Riong, Kuala Lumpur menyemak pruf penghabisan. Ketika dinihari Latiff menyatakan perutnya lapar. Kami keluar mencari kedai yang masih buka. Di sebuah kedai kopi di mana penjaganya setengah tidur kami makan roti bakar dan minum kopi. Kami bawa roti dan kopi untuk teman-teman pekerja cetak. Pukul 6.00 pagi, 13 Januari 1971, saya dan Latiff masing-masing membawa pulang senaskhah seorang majalah Dewan Sastera keluaran sulung yang sama kami bidani.

Pihak Dewan Bahasa tidak berani mencetak banyak. Cetakan pertama sebanyak lima ribu naskhah saja. Sambutannya menggalakkan. Cetakan bulan Januari habis. Ditambah lagi tujuh ribu naskhah untuk bulan Februari. Juga habis. Beberapa bulan kemudian dicetak sebanyak sepuluh ribu naskhah. Sambutan para penulis juga menggalakkan. Kami menerima sumbangan yang tidak terperi banyaknya. Sajaklah yang paling banyak.

Apakah pengalaman-pengalaman menarik sdr. sepanjang menjadi pengarang Dewan Sastera dari tahun 1971 hingga 1979?

Usman: Pada suatu hari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Haji Sujak Rahiman memanggil saya ke pejabatnya. “Man, cuba baca ini,” katanya. Misainya yang agak jarang itu senget oleh kuak senyumnya. Saya membaca dua buah sajak oleh Haji Sujak. Isi sajak itu boleh tahan, tapi penulisannya agak lemah. “Kalau boleh disiarkan, siarkanlah. Saya syok nak belajar-lajar menulis. Bercampur dengan awak semua orang gila-gila, saya tertarik nak mencuba bakat saya menulis.” Tuan Haji Sujak memang ramah dan rapat dengan Bahagian Umum. Selain peramah, beliau suka bergurau dan menyebut para penulis, terutama penyair sebagai “orang gila-gila”. Kata-kata ini sebagai panggilan yang manis dan berisi keramahan.

Beberapa minggu kemudian Tuan Haji Sujak bertanya: Bagaimana sajak saya? Boleh disiarkan? Saya jawab, sajak itu sedang dalam pertimbangan sidang pengarang. Tak lama kemudian bila bertemu dengannya ditanya lagi. Akhirnya saya jawab dengan terus terang bahawa sajak itu tak dapat dimuatkan sebab nilainya masih kurang. Beliau menganggukkan kepada. Tak ada canlah saya nak jadi penyair, katanya bermuram durja. Kemudian secara bergurau Tuan Haji Sujak berkata: Sebagai bos saya boleh perintah siarkan, tapi saya hormati tanggungjawab awak.

Bagaimanapun sajak Tuan Haji Sujak itu kami siarkan juga bila Dewan Sastera menyambut hari lahirnya yang kelima – satu keluaran yang kami fikir sesuai menyiarkan sajak tersebut untuk rakaman. Saya sebutkan ini semata-mata sebagai salah satu pengalaman seorang editor dari seribu pengalamannya menghadapi masyarakat penulis. Pengalaman lain, bila akhirnya pada suatu hari dalam bulan Julai 1979, beberapa hari sebelum hari lahir saya yang kelima puluh, tangan saya tidak dapat digerakkan untuk menyunting sebuah karangan. Saya meminta Dinsman menghantar saya ke klinik seorang doktor, teman saya, yang tidak jauh dari Dewan Bahasa. Teman doktor itu setelah memeriksa saya segera menasihati saya pergi ke hospital. Kerana kebetulan sebelah malam nanti ada sudah rancangan untuk hari lahir saya, nasihatnya itu saya minta ditangguhkan. Dia segera menjawab: “Tongkat, kalau sudah mati tak guna pergi hospital. Siapa yang mahu mati?” Masa itu juga saya minta Dinsman bawa saya ke hospital. Dan bermulalah penyakit orang kota di abad dua puluh yang pernah saya sebutkan dalam drama “Tamu Bukit Kenny” – darah tinggi dan lemah jantung.

Maka lahirlah Dewan Sastera, yang sejak beberapa lama menjadi buah mimpi begitu ramai penulis tanah air. Terbitlah sebuah majalah yang mulanya dikendalikan oleh Kamaludin Muhammad (Keris Mas) sebagai ketua pengarangnya, dengan Usman Awang, Abdullah Hussain dan Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) sebagai sidang pengarangnya.

Demikian suka duka Usman Awang mengendalikan Dewan Sastera selama hampir sepuluh tahun. Demikian jugalah majalah tersebut mengalami segala perubahannya melalui kemajuan yang dicapai oleh kemajuan penerbitan dan perkembangan kesusasteraan itu sendiri. Kini Dewan Sastera telah melalui dekadnya yang pertama. Ia mula memasuki dekadnya yang kedua. Apakah harapan dan impian Dewan Sastera menghadapi era baharunya ini? Memadailah saya memetik kata-kata Datuk Haji Sujak Rahiman, ketika itu Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, dalam kata sambutannya untuk lima tahun Dewan Sastera (Januari 1976): “Dan saya tidak dapat menyembunyikan harapan saya yang amat besar supaya majalah ini terus hidup selama-lamanya untuk mengatasi soal-soal yang kita hadapi dalam perjuangan menghidup dan memajukan kesusasteraan kita. Dan ini tidak akan dapat berlaku kalau tidak dengan bantuan para sasterawan, para penulis dan para intelek yang selama ini telah menunjukkan dan memberikan kerjasamanya yang amat bererti.”

_________________________

S. Jaafar Husin ialah mantan editor Dewan Sastera Mei 1982 hingga Disember 1986. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.