13 April 2021, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lantaran sukar memperoleh skrip filem yang bermutu tinggi, beberapa pihak mula menyarankan agar pengadaptasian novel dilipatgandakan dalam dunia perfileman tempatan. Dalam masa yang sama, krisis kekurangan karya yang baik belum pasti dapat diatasi jika pengadaptasian tersebut tetap hanya menghasilkan skrip yang lemah, meskipun daripada novel yang bagus.

Malah, anggapan bahawa tugas menghasilkan skrip filem daripada novel lebih mudah kerana cerita, plot dan watak sudah tersedia tidak benar. Sebenarnya, pengadaptasian daripada novel jauh lebih sukar dan mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Terdapat beberapa aspek dalam novel yang tidak dapat difilemkan. Misalnya, sesuatu adegan atau inti cerita yang terlalu panjang. Jika ditinggalkan pula, pasti akan terjadi kekurangan atau penyimpangan. Mereka yang telah membaca novel lalu menonton filem tersebut akan berasa kecewa atau kurang puas hati.

Sejak 1950-an, Chinta Gadis Rimba (Harun Aminulrashid), Rumah itu Dunia Aku (Hamzah Hussein), Bukan Salah Ibu Mengandung (Harun Hassan), Langit Petang (Sasterawan Negara [SN] A. Samad Said), Ranjau Sepanjang Jalan (SN Shahnon Ahmad), Ombak Rindu (Fauziah Ashari), dan Lagenda Budak Setan (Ahadiat Akashah) merupakan antara filem adaptasi novel.

Walau bagaimanapun, ramai pembaca yang menonton filem-filem tersebut tidak mendapat keseronokan seperti ketika membaca novel asalnya. Pengkritik juga mendapati Langit Petang, arahan Shahrom Mohd. Dom gagal memahami beberapa ciri utama yang mendasari novelnya.

Ranjau Sepanjang Jalan (arahan Datuk Jamil Sulong) pula dianggap terlalu setia mengikut novel sehingga menjadi filem yang lebih bersifat dokumentari.

Novel menggunakan kekuatan kata-kata, manakala filem menggunakan kekuatan visual. Novel bersifat konseptual dan deskriptif, filem pula perceptual, dan presentational, yang menuntut pemahamannya yang tersendiri. Pengadaptasi novel harus menganggap karya itu sebagai bahan mentahnya, lalu mencipta struktur dan pengucapan yang tersendiri.

Antara perkara penting dalam pengadaptasian ialah pengekalan semangat novel asal. Para pembikin filem juga perlu memastikan bahagian perubahan ataupun pengurangan daripada novel yang manakah akan merosakkan atau memperbaik filem yang dihasilkan.

Pengekalan inti dan semangat novel memberikan tafsiran serta bahasa yang tersendiri pada filem yang diusahakan. Hal inilah yang diharapkan dan diutamakan walaupun sukar. Dalam kata lain, pengadaptasian tidak semena-mena membunuh keasliannya.

Menurut pensyarah Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif ASWARA, Azlim Ibrahim, masalah pengadaptasian mungkin berpunca daripada kurangnya penguasaan ilmu penulisan skrip dan bukan kerana tidak memahami format skrip.

Katanya lagi, ramai penganjur bengkel skrip sekarang mengajar menggunakan format lama meskipun kini sudah banyak perisian baharu yang diperkenalkan.

Walau bagaimanapun, Azlim bertegas bahawa kebanyakan pembikin filem sekarang kurang mengetahui cara terbaik untuk membina struktur, konflik dan dialog yang baik.

“Barangkali juga kerana karyawan filem kurang membaca novel besar tempatan dan antarabangsa. Kemahiran penggunaan bahasa filem yang sinematik amat penting, sepertimana penguasaan gaya bahasa dalam novel untuk menyampaikan makna dan keindahannya,” tambahnya.

Azlim mencadangkan pengadaptasian novel besar sasterawan tempatan menjadi pilihan para pembikin filem untuk membikin “filem kenegaraan” agar “mutu”nya dapat diterjemahkan menjadi filem yang bermutu, dengan penglibatan karyawan dan penerbit yang berintegriti tinggi.

Bagi mencari penyelesaian tuntas, Rozan Azen Mat Rasip berpendapat novelis dan penulis skrip atau sutradara perlu sama-sama bertoleransi agar pengabaian semangat novel ataupun bahasa sinema dalam filem tidak berlaku apabila kedua-dua pihak berkompromi secara kreatif. Hal ini mampu menghasilkan sebuah skrip adaptasi yang “baharu” – menggabungkan kehendak kreatif kedua-dua genre.

Kata aktivis seni sastera itu lagi, penonton dan pembaca tetap akan faham bahawa karya itu sebuah hasil yang baharu, dan tidak terikat tegar dengan sumber asalnya.

Walau bagaimanapun, tambah Rozan, kematangan pembaca-penonton juga diperlukan agar memahami filem tersebut ialah adaptasi yang membawa dimensi baharu yang telah disesuaikan menjadi filem.

Justeru, kata mantan Setiausaha Agung Persatuan Teater Malaysia itu, tidaklah berlaku banyak perbezaan antara semangat novel dengan adaptasi filem.

Rozan turut mencadangkan para sutradara untuk mencari kesesuaian yang terbaik dalam pengadaptasian, sama ada disebabkan oleh novel yang lemah sehingga menyukarkannya menjadi sebuah filem yang menarik, ataupun untuk mengelakkan isi atau plot yang menarik dalam novel tersisih tanpa disedari.

Tegasnya, penulis skrip atau sutradara perlu membaca, mengikuti dan mendapatkan semua kritikan terhadap novel itu sebagai panduan agar segala kelemahan dapat dielakkan dalam proses pengadaptasian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.