Oleh Karmila Azmi
9 April 2021, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Penerbitan semula karya klasik tulisan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan oleh Nusa Centre bukan hanya membolehkan pembaca khususnya generasi muda mengenali susuk sasterawan hebat itu, namun lebih hebatnya penerbitan semula ini dibuat oleh anaknya sendiri, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir atau S.M. Zakir.

Angin Timur Laut, Norbani, Ustaz dan Nagoho Astana kembali menemui pembaca bukan hanya atas sebab empat judul ini merupakan karya Sasterawan Negara yang seharusnya diberi penghormatan tetapi bagi S.M. Zakir, hal ini juga kerana rasa kasih sayang terhadap bapanya.

“Usaha ini lebih mudah kerana semua hak cipta itu memang dipegang kami kerana diterbitkan oleh syarikat keluarga.

“Ada juga sebahagian hak cipta sudah dilepaskan oleh penerbitan,” katanya.

Tambah S.M. Zakir, buat masa ini, semua naskhah itu diterbitkan sebanyak 500 salinan sahaja. Namun katanya, tidak semua judul tulisan S. Othman Kelantan dapat diterbitkan kerana hak penerbitan masih dipegang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Kami akan berunding dengan DBP untuk menerbitkan semula karya beliau. Buat masa ini, kami terbitkan empat dahulu.

“Sebenarnya usaha penerbitan semula ini rumit dan membabitkan banyak kos sebab kerjanya mengambil masa yang lama, iaitu hampir dua tahun. Saya perlu taip semula semua karya itu satu persatu,” katanya.

S. Othman Kelantan mungkin lebih dikenali menerusi naskhah Juara (1976) yang turut difilemkan, selain Orang Kota Bharu (2003), tetapi sebenarnya terdapat lebih banyak karya beliau yang memukau.

Misalnya, Angin Timur Laut (1969) pernah disifatkan oleh Tan Sri Johan Jaafar sebagai magnum opus S. Othman Kelantan. Walau bagaimanapun, mungkin kerana karya-karya lain itu kurang kajian selain tulisan beliau sukar diperoleh di pasaran menyebabkan kebanyakannya tidak sampai kepada pembaca.

Novel Angin Timur Laut, Norbani, Ustaz dan Nagoho Astana akan berada di pasaran pada 10 April 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.