26 Mac 2021, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada hari ini, terdapat suara-suara anak muda yang menyatakan mereka tidak meminati lagu puisi, tetapi ironinya, cukup giat menghafal seni kata lagu. Mengapakah mereka meminati seni kata yang puitis, tetapi menolak puisi? Adakah mereka memahami maksud-maksud dalam lirik itu, dan menganggapnya berbeza dengan puisi?

Sebagai contoh, seni kata lagu popular, Aku Bidadari Syurgamu dendangan Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Jika seni katanya bait-bait puisi, adakah ia diterima?

Ciptaan lagu puisi di Malaysia dimulakan oleh Allahyarham Ibrahim Bachik, kemudian kumpulan Titra, Harmoni dan Kopratasa, serta Ahmad Ramli. Kelihatan, lagu puisi ada pengikutnya. Namun demikian, hal itu bukan pengukur untuk menentukan tahap pemasyarakatannya.

Bagaimanakah memasyarakatkan lagu puisi? Menurut Ahmad Ramli, dunia seni

Ahmad Ramli

Malaysia terlalu dipengaruhi unsur-unsur luar. Sudah sampai masanya, kata Ahmad, peranan media awam beransur-ansur beralih daripada “mengejar wang” kepada “mengejar nilai”. Jika kita memahami nilai, adat, seni dan budaya sendiri, katanya, akan lahir rasa mencintai lagu puisi yang jauh lebih kaya.

Jelas pencipta, penyanyi dan penerbit lagu puisi dari Pulau Pinang ini, lagu puisi tidak lari daripada irama yang dipengaruhi oleh seni Islam, iaitu taranum.

Muzik Barat, katanya, yang orang Melayu banggakan, hanya didasarkan pada dua skala muzikal, iaitu major dan minor, sedangkan lagu Melayu yang dianggap dipengaruhi seni taranum, menggunakan tujuh skala muzikal. Untuk mendalami ilmu dan kemahirannya sahaja mungkin boleh menimbulkan rasa menghargai seni muzik Melayu, khususnya lagu puisi.

Tambah Ahmad, seni kata sudah kurang dihiraukan oleh pendengar sekarang. Hal yang lebih penting ialah iramanya bagi menghentakkan kaki atau menganggukkan kepala. Muzik lagu untuk hiburan dan lagu untuk penghayatan, katanya, memang berbeza.

Dari segi seni kata, lagu hiburan lebih santai daripada lagu puisi yang banyak terikat dengan pelbagai perlambangan. Tegas Ahmad, motif lagu biasa melekakan, tetapi lagu puisi mengingatkan.

Mengenai usaha mengangkat lagu puisi dalam dunia penyiaran, Ahmad atau lebih mesra dipanggil Cikgu memberikan dua cadangan tegas.

Pertama, lagu puisi perlu kerap disiarkan sehingga timbul kesan psikologi bahawa ia baik untuk masyarakat.

Kedua, tukarkan penerbit dan penyiar yang tiada latar belakang sastera, atau tidak pandai menghargainya, kerana merekalah ejen pembentuk masyarakat dalam dunia seni lagu.

Man Kayan

Man Kayan yang banyak mencipta dan menyanyikan lagu puisi pula mengatakan perkara sebegini turut menimpa lagu rakyat, gendang dan busana. Justeru, dia enggan mengeluh. Baginya, lebih wajar berusaha mengumpulkan insan berbakat dan terus bergiat tanpa memikirkan reaksi masyarakat.

Tegas Man yang bergiat di Kuantan, yang penting ialah dia dan rakan-rakan meminati lagu puisi itu sendiri. Jika minat dan cinta itu hadir sendiri, seni itu akan berkekalan walaupun dalam skala yang kecil.

Man mengimbau zaman segmen puisi di Radio Klasik. Ketika itu, katanya, ada deklamasi dan lagu puisi. Namun begitu, setelah segmen program itu menghilang, seniman tiada kuasa untuk meminta diadakan semula dan diteruskan.

Sementara itu, Siso mengatakan keadaan, pembawaan, sebaran, pemerkasaan dan sokongan badan terlibat serta peranan wartawanlah yang dapat menentukan kemeriahan pertumbuhan lagu puisi.

Siso berharap deklamator, penulis puisi dan penyanyi lagu puisi dapat membuat anjakan baharu. Mereka, tambah mantan ahli Kopratasa ini, tidak boleh lagi hanya mengisi masa lapang.

Penyanyi lagu puisi profesional, katanya, berbeza dengan penyanyi lagu puisi amatur/kecil-kecilan kerana mereka perlu dibayar dengan harga profesional, bukan mengkut kehendak penganjur.

Jika penyanyi lagu popular dibayar RM5000, tegas Siso, mengapa tidak

Siso

penyanyi lagu puisi? Hal ini dikatakan sedemikian kerana kerjanya sama, hanya berbeza genre.

Acara baca puisi juga, kata Siso, perlu teratur dengan tema dan konsep, termasuk hiasan pentas, sistem bunyi, pakaian penyair, dan kejutan artistik, sebagaimana rancangan di televisyen. Jika acara puisi mahu bersaing atau setanding, ia harus merujuk program tertentu.

Siso mengingatkan, penyanyi lagu puisi juga mencari rezeki untuk anak dan isteri menerusi nyanyian dan persembahannya. Jika bayaran kecil atau tiada, mereka sukar mencari rezeki.

Hal ini menjadi satu kerugian pada dunia puisi, tegas Siso, jika mereka “bersara”. Kegiatan lagu puisi akan terus malap, berbanding yang ada kerja dan sumber rezeki lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.