25 Mac 2021, 12:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negara (SN) ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan, pengarah filem veteran, Yassin Salleh, dan juara Deklamasi Puisi Kebangsaan 1996, Ahmad Shukri Abdullah adalah antara yang diundang untuk menjayakan Baca Puisi Bumbung pada 21 Mac lalu di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam.

Acara yang disambung semula selepas terhenti sekian lama itu merupakan anjuran Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor dan IDE.

Zurinah menyampaikan pantun beliau, “Warisan Bangsa”, sementara Yassin dengan sajaknya, “Pokok TAP yang Direpang-repang”. Shukri pula mendeklamasikan sajaknya, “Kembali Muda” dan “Peradaban Abad Ini”.

Turut menjayakan acara tersebut ialah Presiden PAKSI, Datuk Dinsman yang mendeklamasikan sajak beliau, “Bersahabat Berjuang Bersama”.

Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluannya, Dinsman menyatakan kekesalan beliau kerana sepohon pokok yang pernah dijadikan pentas untuk Teater Atas Pokok pada 16 dan 17 April tahun 2016 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam tidak diurus dengan wajar hingga hampir musnah.

Pada awalnya, pokok tersebut dipilih oleh PAKSI sebagai lokasi acara menyambut Hari Puisi Sedunia 2021. Walau bagaimanapun, lantaran keadaan pokok tersebut yang amat daif, lokasi acara ditukar ke IDE.

Sehubungan “tragedi” itu, Dinsman berharap pihak berkuasa tempatan, bukan sahaja di Shah Alam, dapat berbuat sesuatu dan menyediakan dana yang sewajarnya untuk kegiatan seni sastera budaya.

Baca Puisi Bumbung turut menampilkan penyair terkenal Ijamala MN yang mendeklamasikan sajak “Makbulkan Doa Kami“. Selain itu, Setiausaha PAKSI, Hasni Abas mendeklamasikan sajaknya “Doa Pencuri”, dan “Ular yang Memakai Songkok”, sementara Ketua Penerangan PAKSI, Mohamed Nasser Mohamed tampil dengan sajak “Penyair Apakah Kita Ini”.

Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan menyampaikan pantun beliau, “Warisan Bangsa”.

Turut diundang bagi menjayakan acara tersebut ialah mantan Ahli Dewan Negara Syed Shahir serta Ayudez Zuraina, Lim Ah Nee, dan Raja Yusoff Ariffin.

Masing-masing mendeklamasikan sajak “Apa Dosanya Makhluk Itu”, “Suara”, “Lautan Bukan Pemisah” (karya Ratna Laila Shahidin), dan “Usah Biarkan Barah Itu”.

Beberapa orang dalam kalangan hadirin yang kebetulan juga penggiat seni turut dipelawa untuk mendeklamasikan sajak, termasuk Ahmad Sarju, Dr. Ibrahim Ghaffar, Harlym Yeo, dan Aloy Indra Jokina.

Istimewanya, sesi Baca Puisi Bumbung ini diiringi dengan muzik iringan Kreatif Akustika. Kreatif Akustika telah mendendangkan beberapa lagu puisi, termasuk Doa, Kepadamu Kekasih, Nyanyian Pantai Timur dan Srikandi Cintaku.

Acara ini turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah.

Dalam ucapan beliau, Borhan menghargai puisi dan acara yang diadakan yang menurutnya selaras dengan kata-kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapok, iaitu “bahasa menunjukkan bangsa”.

Borhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat turut menyampaikan cadangan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang ingin menganjurkan acara puisi bulanan di kediaman beliau.

Acara yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu dikendalikan oleh Shariffah Khadijah dari PAKSI sebagai pengacara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.