Oleh Karmila Azmi
15 Mac 2021, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lupakan seketika sesi perbincangan sastera bersemuka secara fizikal yang biasa dilakukan ketika sebelum Mac 2020. Hari ini, perbincangan sedemikian boleh saja berlangsung dalam talian dengan satu lagi kelebihan – ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja dengan syarat anda seorang pemilik iPhone.

Aplikasi yang dinamakan sebagai Clubhouse itu mungkin dilihat sebagai pusat mengumpul pengaruh yang elitis, namun dari sudut positifnya, ia berpotensi untuk menyebarluaskan sastera kepada khalayak “elitis” itu.

Rumah Punggok merupakan antara konsultan seni dan penerbitan yang kerap muncul di Clubhouse, meneroka pelbagai isu mengenai sastera dan penerbitan.

Dikendalikan oleh pasangan penulis, Wan Nor Azriq dan Ainul Muaiyanah Sulaiman, sesi Clubhouse Rumah Punggok yang dinamakan sebagai #ArkibCerita dibuka hampir setiap hari.

Paparan antara muka Clubhouse #ArkibCerita.

Ainunl Muaiyanah ketika ditanya mengenai Clubhouse #ArkibCerita menyebut, di Malaysia ketika ini aplikasi ini mungkin masih sukar diakses oleh ramai orang tetapi setakat ini, ia telah menarik ramai khalayak muda untuk memperkatakan mengenai sastera di Malaysia.

“Ada di antara mereka yang sangat muda dan hijau dalam sastera, ada peminat dan sebahagian besarnya pembaca.

“Kami buka ruang sembang untuk sesiapa saja yang berminat dan kita juga selaku pengguna boleh meminta untuk turut serta menyertai topik-topik yang disenaraikan dalam Clubhouse,” katanya.

Tegas Ainunl Muaiyanah, disebabkan aplikasi media sosial ini dikendalikan dalam sesi tidak formal dan boleh dicapai menerusi talian peribadi, setiap peserta lebih selesa melontarkan pandangan.

Isu betul atau tidak atau tepat dan sebaliknya tidak timbul kerana Clubhouse ialah ruang sembang bebas.

“Saya melihatnya sebagai ruang untuk mencambahkan pemikiran. Apatah lagi pada zaman pandemik ini, kita tidak mampu lagi hendak berdiskusi seperti dulu.

“Namun ia bukan alasan untuk membataskan sesi percambahan idea apatah lagi sastera masa kini seharusnya tidak lagi tersekat pada gaya konvensional,” katanya.

Satu hal yang nyata, Clubhouse ketika ini sedang tular dan seharusnya sastera turut sama-sama berada dalam arus itu. Bagi anda yang biasa mengikuti podcast, pengalaman meneroka Clubhouse hampir serupa dengan sedikit perbezaan iaitu, aplikasi ini boleh diaktifkan atas jemputan atau boleh saja berada dalam senarai menunggu sebelum dicalonkan menjadi ahli Clubhouse iaitu rakan anda.

Memetik kata pengasasnya, Paul Davison dan Rohan Seth, aplikasi ini masih pada fasa percubaan dan bakal dibuka kepada pengguna Android seawal bulan April.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.